Hadir ke Bon Odori, Idris tersepit dengan titah Sultan Selangor

Hadir ke Bon Odori, Idris tersepit dengan titah Sultan Selangor

Isu Festival Bon Odori menjadi perbincangan hangat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, menasihatkan umat Islam tidak menyertai perayaan musim panas masyarakat Jepun kerana mendakwa perayaan itu “dipengaruhi unsur agama lain”.

Susulan kenyataan itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Idris supaya menghadiri Festival Bon Odori, di Shah Alam, untuk “memahami perbezaan antara agama dan budaya”.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak mahu menteri itu menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat “kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejaskan imej dan reputasinya.”

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang menegaskan tiada larangan bagi umat Islam menyertai festival berbentuk kebudayaan dan aktiviti hiburan itu.

Merujuk kepada Bon Odori, Wan Salim bagaimanapun berkata, jika wujud unsur keagamaan dan ritualistik termasuk pemujaan roh nenek moyang dalam festival itu maka umat Islam perlu menghindarinya.

“Jika ada kesangsian di pihak masyarakat Islam tentang wujud unsur keagamaan dan ritualistik dalam Festival Bon Odori ini maka mereka berhak menghindarinya demi memelihara kesucian akidah yang dipegang,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, penganjur perlu menghormati sensitiviti masyarakat Islam mengenai aktiviti sedemikian disebabkan kebimbangan akan menjejaskan akidah yang tidak wajar dikompromi atas apa alasan sekali pun.

Katanya, pihak kementerian berkenaan juga perlu dimaklumkan secara jelas agar tidak timbul salah faham antara warga Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Pihak kementerian yang terbabit perlu difahamkan sebab kebimbangan ini supaya tidak timbul salah faham yang mungkin mengeruhkan hubungan baik dan mesra antara sesama warga Malaysia yang berbilang kaum dan penganut pelbagai agama,” katanya.