‘Handyman’ kongsi sebab kenapa tak rasa angin walaupun kipas berpusing laju

‘Handyman’ kongsi sebab kenapa tak rasa angin walaupun kipas berpusing laju

 

Kipas siling yang berfungsi dengan baik merupakan salah satu nikmat paling diimpikan oleh pemilik kediaman di Malaysia terutamanya pada musim panas.

Bagaimanapun, terdapat juga beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan peralatan ini gagal berfungsi dengan baik terutama untuk mendinginkan persekitaran rumah.

Menurut seorang pengguna Facebook dipercayai bekerja sebagai ‘handyman’ atau pekerja rencam, masalah ini mungkin berpunca dari saiz, bilah dan kedudukan kipas.

“Kipas siling sudah laju tetapi tak rasa angin? Penjelasan ini panjang sedikit, tetapi mungkin ada maklumat berguna untuk tuan-tuan (pembaca),” kata pemilik akaun Facebook GeneralWorker_Repair&DIY itu.

1. Saiz kipas

Kekuatan angin bergantung sepenuhnya kepada lebar bilah dan juga diameter kipas siling. Semakin lebar bilahnya, maka semakin kuat tolakan anginnya. Situasi ini juga sama dengan saiz diameter peralatan elektrik tersebut.

2. Bilah kipas

Kipas yang berbilah tiga ataupun lima mempunyai perbezaan mengenai penghasilan kekuatan angin. Meleset daripada sangkaan orang ramai, bilah tiga akan menghasilkan angin yang lebih kuat.

Perkara ini bermakna, semakin banyak jumlah bilah maka semakin kuranglah tolakan angin. Namun peralatan elektrik tersebut akan menjadi lebih senyap dan stabil sekiranya banyak bilangan bilah.

3. Kedudukan kipas

Kedudukan paling terbaik adalah di ruangan yang tidak mempunyai sebarang halangan. Jaraknya pula tidak terlalu rapat dengan dinding mahupun siling. Paling kurang, kekalkan jarak 10 inci daripada siling.

Sekiranya terlalu rapat dengan dinding ataupun siling, kitaran angin akan terganggu. Malah sebarang bentuk halangan pada dinding seperti rasuk rumah atau beam juga akan menyebabkan angin menjadi perlahan.