Hanya kerana sedang menambat lembu di halaman rumah, seorang lelaki dikompaun RM1500
Gara-gara tidak memakai pelitup muka ketika menambat lembu berhampiran rumah, seorang lelaki dikompaun RM1,500 di Kampung Pasir Tok Kambing, Kota Bharu, Kelantan.
Nik Azman Nik Lah, 58, berkata ketika kejadian dia berada di tepi jalan sambil melihat dua lembunya sedang makan rumput sebelum didatangi seorang lelaki yang berhasrat membeli ternakannya itu.
Namun, tiba-tiba lelaki tersebut memecut motosikal meninggalkannya seorang diri selepas ternampak kereta peronda polis.
Nik Azman berkata, anggota polis terbabit kemudian menyerahkan kompaun berjumlah RM1,500 dan dia perlu menjelaskannya sebelum 9 Jun ini.
Katanya, dia amat terkilan apabila polis tidak menerima penjelasannya yang keluar berhampiran rumah hanya untuk menambat lembu.
“Ketika itu, saya tidak memakai pelitup muka kerana hanya mahu menambat lembu berhampiran rumah. Saya terkejut apabila salah seorang anggota polis meminta kad pengenalan untuk mengeluarkan kompaun.
“Saya memohon maaf beberapa kali kepada anggota itu, namun tidak diterima,” katanya menurut laporan Kosmo.
Katanya, dia tidak mampu membayar jumlah kompaun itu kerana tiada pekerjaan tetap dan hanya menternak dua lembu untuk dijual pada Aidiladha nanti.
“Saya juga mempunyai lapan orang anak yang perlu ditanggung. Saya tiada wang untuk jelaskan kompaun itu,” katanya. – FMT