Hasbie Muda akhirnya mohon maaf, parkir kereta di laluan pejalan kaki

Hasbie Muda akhirnya mohon maaf, parkir kereta di laluan pejalan kaki

 

Ahli Dewan Negara, Mohd Hasbie Muda tampil membuat permohonan maaf dan bersedia untuk dikenakan kompaun atas kesalahan meletakkan kenderaan di laluan pejalan kaki.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, kejadian seperti itu tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.

“Saya mengambil maklum dengan isu tular sebuah kenderaan Ahli Parlimen (Dewan Negara) yang diletakkan di laluan pejalan kaki.

“Sebagai pemilik kenderaan tersebut, saya dengan penuh rasa kesal memohon maaf atas apa yang berlaku dan mengambil tanggungjawab penuh.

“Saya amat menyesali kesulitan yang telah timbul dan bersedia dikenakan kompaun atas kesalahan tersebut. Saya berjanji kejadian ini tidak akan berulang lagi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini tular satu hantaran di aplikasi X yang memaparkan sebuah Proton X90 milik seorang wakil rakyat diletakkan di atas laluan pejalan kaki sehingga mengganggu pengguna laluan tersebut.

Hantaran itu telah mengundang kemarahan orang ramai kerana dianggap menyalah guna pangkat dan kuasa sehingga mengganggu fasiliti untuk kegunaan orang awam.

Senator Hasbie apologises for parking car on pavement | FMT