Ini khasiat cincau yang ramai tak tahu
Selain enak dijadikan minuman sejuk, sebenarnya cincau juga mempunyai kelebihan dan manfaatnya yang tersendiri dari segi kesihatan.
Ramai yang tidak tahu, pengambilan cincau sebenarnya berupaya untuk mengawal kolestrol, kandungan gula dalam darah, tekanan darah dan banyak lagi.
Seorang pengguna Facebook, Ida Shahida yang sering berkongsi resipi, petua dan nasihat telah membuat hantaran panjang berikut yang menceritakan mengenai banyak lagi kebaikan cincau.
Nak tahu apa lagi sebenarnya manfaat cincau? Jom ikuti perkongsiannya ini.
MANFAAT CINCAU
Berupaya untuk mengawal paras kolesterol dalam darah
Keadaan kesihatan Dyslipidemia boleh dipengaruhi oleh diet harian yang tinggi dalam kandungan kolesterol dan ia juga penyumbang kepada jutaan kematian di seluruh dunia melalui serangan jantung dan juga angin ahmar (strok). Diet yang tinggi dalam kandungan serat adalah salah satu daripada intervensi tanpa ubat yang baik dalam mengawal paras kolesterol dalam darah, secara tidak langsung mencegah penyakit kardiovaskular yang disebut tadi.
Dalam satu kajian yang bertujuan untuk menyiasat kesan serbuk cincau mudah meruap sebagai antioksidan dan juga antidyslipidaemia dalam tikus Wistar, kajian tersebut mendapati bahawa walaupun diet yang tinggi dengan kolesterol diberikan kepada tikus-tikus tersebut, pengambilan 3 hidangan serbuk cincau mudah meruap didapati masih berjaya untuk mengurangkan paras kolesterol dalam darah. Keupayaan ini dikaitkan dengan kandungan serat boleh larut yang tinggi dalam cincau.
Serat yang boleh larut akan mengikat kepada asid hempedu dalam usus kecil, mengurangkan kemungkinan untuk ia diserap semula ke dalam badan serta mengurangkan paras kolesterol dalam darah. Kolesterol yang rendah dalam darah adalah faktor pelindung daripada penyakit-penyakit berkaitan salur darah seperti penyakit jantung dan angin ahmar.
Baca lebih lanjut
Serat secara definisinya adalah komponen karbohidrat tumbuh-tumbuhan yang tidak boleh dipecahkan dan diserap oleh badan manusia. Ini kerana fisiologi badan kita tidak mempunyai enzim yang mampu untuk memisahkan ikatan antara rantaian karbohidrat tumbuhan. Peranan serat makanan dapat dibahagikan kepada tiga aspek penting iaitu penggemburan (bulking), kepekatan (viscosity) dan juga aspek penapaian (fermentation).
Dari sudut penggemburan, serat ini boleh terdiri daripada serat boleh larut dan juga serat tidak larut. Serat yang menggemburkan akan menyerap air. Dengan cara ini, ia mampu untuk membentuk tinja yang lebih besar, pejal dan sekata. Pembentukan tinja sebegini adalah penting bagi memastikan ia boleh memberi rangsangan yang mencukupi kepada dinding usus.
Rangsangan kepada dinding usus ini akan mencetuskan pergerakan yang disebut sebagai peristalsis, selangan kecutan dan regangan dinding usus yang menggerakkan tinja dengan lancarnya. Pengeluaran najis akan berlaku dengan lebih senang dan kurang traumatik pada bahagian pembukaan dubur.
Majoriti serat yang melakukan penggemburan tidak mengalami proses penapaian. Walaupun ada sebilangan kecil serat ini yang mengalami proses penapaian, ia berlaku pada kadar yang sangat sedikit.
Dari sudut kepekatan, serat berupaya untuk memekatkan kandungan bahan makanan yang telah dihadam, mengurangkan penyerapan gula selepas makan dan juga penyerapan lemak (lipid) khususnya untuk kolesterol. Sesetengah serat yang memainkan peranan pemekatan ini juga berupaya untuk menjalani penapaian sama ada sepenuhnya ataupun separa sahaja, di dalam saluran usus. Contoh serat seperti ini adalah beta-glucan.
Serat yang boleh ditapai adalah serat yang dicernakan oleh bakteria dalam usus. Hasil daripada penapaian ini adalah peningkatan dalam penggemburan tinja dan juga penghasilan asid lemak berantai pendek (short-chain fatty acids). Contoh serat dalam kelas ini adalah kanji rintang dan juga insulin.
Dari sudut penyakit kronik, pengambilan serat yang lebih adalah aspek yang penting dalam makanan seimbang. Serat berupaya untuk meningkatkan isipadu makanan tanpa penambahan kalori. Ini membolehkan serat untuk menghasilkan rasa kenyang yang sama dengan pengambilan kalori yang lebih banyak, sekali gus mendorong seseorang itu untuk berasa kenyang dengan lebih lama dengan kalori yang lebih rendah.
Kesan ini berupaya untuk mencegah penyakit berkaitan dengan pengambilan kalori yang tinggi seperti berat badan berlebihan, obesiti dan juga kencing manis. Selain itu, penggemburan tinja hasil daripada pengambilan serat juga memberikan kesan perlindungan kepada usus besar dan dubur.
Pengambilan serat yang sedikit menyebabkan seseorang itu berisiko untuk menghidap penyakit seperti buasir dan juga anal fissure. Kajian juga menunjukkan bahawa pengambilan serat yang konsisten mengurangkan risiko seseorang untuk menghidap penyakit kanser usus.
Akibat daripada pemekatan yang dilakukan serat, ia menyebabkan lebih sukar untuk enzim memecahkan karbohidrat, sekali gus mengawal paras gula dalam darah khususnya selepas makan.
Berupaya untuk mengawal paras gula dalam darah
Dalam satu kajian yang turut menggunakan serbuk cincau mudah meruap, pengkaji cuba melihat keberkesanan kesan serbuk tersebut terhadap paras gula dalam darah dan juga histologi pankreas tikus kajian.
Terdapat dua kumpulan tikus yang dikaji; kedua-dua kumpulan diberikan alloxan untuk mencetuskan penyakit kencing manis namun hanya satu kumpulan sahaja yang menerima dos serbuk cincau mudah meruap secara oral.
Selepas empat minggu, kajian tersebut mendapati bahawa paras gula dalam darah tikus yang menerima serbuk tersebut adalah lebih rendah (dalam kadar yang signifikan). Selain itu, dapatan histologi menemui tisu islets of langerhans dalam organ pankreas tikus yang menerima serbuk cincau kurang mengalami kerosakan dan kecederaan berbanding kumpulan tikus kawalan, mencadangkan bahawa terdapat peranan perlindungan yang dimainkan oleh pengambilannya.
Kebolehan melawan kanser dan mempengaruhi aktiviti sistem imun
Antioksidan adalah bahan kimia yang memainkan peranan penting dalam melindungi diri kita daripada penyakit-penyakit yang berpunca daripada kecederaan sel dan tisu akibat pendedahan kronik terhadap reactive oxygen species (ROS) dan juga bahan pemangkin kanser yang lain.
Antioksidan telah lama dikaji dan dikenal pasti mempunyai kaitan yang rapat dengan pengaktifan sel-sel imun yang baik dan juga lata tindak balas sel. Dalam satu model kajian in vivo yang membabitkan kanser yang dicetuskan oleh benzo(a)pyrene, pra-rawatan menggunakan ekstrak air daripada tumbuhan cincau khususnya pada dos 1000mg untuk setiap kilogram didapati mampu untuk mengurangkan insiden kanser sebanyak 57%.
Di samping itu, ia juga berupaya untuk mencetuskan peningkatan dalam sel pembunuh semula jadi (natural killer cell), merangsang interferon γ (IFN-γ) dan juga sel T cytotoxic (CD8+), berbanding kumpulan kawalan yang dirawat menggunakan ubat antikanser cyclophosphamide. Para pengkaji merumuskan bahawa antioksidan yang terdapat dalam esktrak tersebut mempunyai keupayaan untuk mempengaruhi sistem imun untuk melawan kanser dengan lebih cekap (immunomodulatory properties).
Keupayaan untuk mengawal tekanan darah
Daripada kesemua jenis enzim yang telah dikenal pasti memainkan peranan dalam kawalan tekanan darah, enzim angiotensin-I converting enzyme (ACE) telah dikenal pasti sebagai enzim utama yang membawa kepada peningkatan tekanan darah melalui aktiviti produk tindak balasnya iaitu angiotensin II.
Oleh yang demikian, terdapat beberapa ubat antihipertensi yang tertumpu kepada penekanan enzim ini seperti ubat captopril dan juga ubat perindopril. Fokus dalam mencari herbal dan ekstrak tumbuh-tumbuhan, keupayaan untuk menekan aktiviti enzim ACE ini adalah salah satu kriteria utama yang dicari.
Dalam satu saringan tumbuh-tumbuhan dan herbal di Indonesia, para pengkaji menemui bahawa penggunaan ekstrak cincau daripada spesis palustris dalam kepekatan 100 bahagian per sejuta (100 ppm) berupaya untuk menekan aktiviti enzim ACE sebanyak 36.25%.
Walaupun kebolehan untuk menekan aktiviti enzim ini tidaklah sekuat keupayaan ubat antihipertensi seperti captopril, ia merupakan satu penemuan yang berpotensi tinggi untuk menjanjikan kesan yang lebih baik dengan kajian susulan.
Secara tidak langsung, pengambilannya mampu untuk bertindak sebagai kaedah atau intervensi tabiat yang mudah dan murah dalam mencegah penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi.
Mempunyai aktiviti dan keupayaan untuk melindungi organ hati (Hepatoprotective)
Enzim Alanine Aminotransferase (ALT) dan juga enzim Aspartate Aminotransferase (AST) adalah dua enzim yang kerap naik ataupun ‘bocor’ ke dalam darah apabila berlakunya kerosakan kepada organ hati.
Ia boleh dilihat dalam kes-kes kegagalan organ hati (daripada kanser dan sindrom hati alkoholik) ataupun melalui kecederaan hati (seperti jangkitan virus Hepatitis C dan B, dan juga penyakit lemak di dalam hati).
Dalam satu kajian in vivo yang membabitkan tikus wistar yang telah dilemahkan organ hati mereka menggunakan aruhan stres etanol selama 2 minggu, para pengkaji mendapati bahawa rawatan menggunakan esktrak cincau dari spesis M. palustris pada dos 135mg/kg ini mampu untuk mengurangkan kecederaan hati sebanyak 37.05% dan juga menyebabkan kurang pengeluaran enzim AST dan ALT ke dalam darah.
Ini merupakan penemuan menarik yang membuka peluang kepada kajian susulan untuk menyiasat kesan klinikal manfaat tumbuhan ini kepada kesihatan manusia, khususnya dalam melindungi organ hati daripada kecederaan.
Konklusi
Sebagai konklusi, cincau merupakan bahan yang popular dalam hidangan manisan dan minuman kontemporari khususnya di rantau Asia dan Asia Tenggara.
Bau harum dan juga rasa sejuk yang diberikan oleh jeli perang hitam ini menjadikannya cukup sesuai untuk diambil ketika musim panas, dan juga untuk dicampur dengan bahan-bahan lain seperti buah-buahan dan aiskrim.
Apa yang lebih menarik, terdapat banyak kajian praklinikal yang menunjukkan bahawa ia mempunyai manfaat kesihatan yang menyeluruh dan potensi yang menjanjikan.
Namun yang demikian, penting untuk diingati bahawa manfaat kesihatannya banyak diperoleh melalui kajian praklinikal dalam binatang dan belum diuji dalam manusia.
Adalah lebih baik jika ia diambil dalam kadar yang sederhana dan dilengkapi dengan pemakanan yang seimbang.
Sekiranya anda ada sebarang soalan khususnya berkaitan dengan penyediaan pencuci mulut atau manisan yang sihat, bertanyalah kepada yang pakar dan arif tentang pemakanan dan nutrisi.