Ini sejarah BlackRock yang ramai tak tahu, baru 33 tahun beroperasi dah berjaya takluk dunia

Ini sejarah BlackRock yang ramai tak tahu, baru 33 tahun beroperasi dah berjaya takluk dunia

 

Kemungkinan ramai di antara kita yang tidak pernah mendengar tentang “BlackRock”, sebuah syarikat kewangan yang sangat berpengaruh

Dan menjadi pelabur terbesar di dunia dengan aset bernilai sekitar RM39.5 trilion sehingga Jun 2021.

Untuk memberi gambaran betapa besar jumlah tersebut, nilai RM39.5 trilion ini melebihi KDNK kebanyakan negara di dunia, kecuali Amerika Syarikat dan China.

BlackRock juga mengoperasikan Aladdin, platform teknologi canggih yang mengawal aset bernilai sekurang-kurangnya RM89.86 trilion.

Aladdin merupakan rangkaian 5,000 komputer yang digunakan BlackRock untuk memantau berjuta-juta perniagaan dan menganalisis portfolio pelanggannya secara 24 jam sehari bagi melakukan analisis risiko. Ia berperanan sebagai “sistem saraf pusat” bagi kebanyakan pemain besar dalam industri pengurusan pelaburan.

Pada September 2021, BlackRock mencuri perhatian apabila mereka menghabiskan hampir RM25 bilion untuk membeli rumah-rumah keluarga tunggal di Amerika Syarikat dan mengubahnya menjadi hartanah sewa, seperti yang dilaporkan oleh The Wall Street Journal.

Dalam banyak kes, BlackRock membayar harga yang lebih tinggi daripada nilai pasaran kepada penjual, yang menyebabkan impian memiliki rumah terpaksa terbantut untuk golongan kelas pertengahan.

Hanya dalam masa 33 tahun, BlackRock telah berkembang dari sebuah syarikat kecil menjadi pengurus aset terbesar dan paling dipercayai di dunia serta menjadi entiti yang dikatakan “menguasai dunia”.

Firma ini juga memainkan peranan penting di Wall Street dan menjadi “pintu masuk” utama antara sektor kewangan dan politik.

Pada hari ini, sekurang-kurangnya tiga pemimpin BlackRock memegang jawatan penting dalam kabinet Presiden Amerika Syarikat Joe Biden. Dikatakan bahawa BlackRock mempunyai tabiat membentuk kabinet bayangan menjelang peralihan presiden dan terlibat dalam program rizab Persekutuan baru Amerika Syarikat, yang menyebabkan Bloomberg menyebut BlackRock sebagai “cawangan kerajaan keempat” Amerika Syarikat.

BlackRock diasaskan pada tahun 1988 oleh Larry Fink, seorang miliarder berpengaruh, dan kini beroperasi global dengan memiliki 70 pejabat di 30 negara serta pelanggan di lebih dari 100 buah negara.

Semasa krisis kewangan tahun 2008, BlackRock ditugaskan oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk menyelamatkan beberapa gergasi Wall Street seperti Bear Stearns, AIG, Fannie Mae, Freddie Mac dengan menganalisis dan menyelesaikan masalah keuangan tanpa proses tawaran awam.

Larry Fink dan BlackRock diiktiraf sebagai pengurus penyelamat Washington di Wall Street, walaupun BlackRock adalah pemegang saham utama dalam institusi yang sama yang dibantu untuk diselamatkan.

Pada tahun 2020, BlackRock diberi kontrak utama oleh Federal Reserve System Amerika Syarikat untuk menguruskan program pembelian bon korporat. Dalam hal ini, firma yang mereka bantu adalah syarikat yang sama di mana BlackRock memiliki kepentingan terbesar.

BlackRock juga menjadi pemegang saham utama dalam syarikat teknologi besar seperti Apple, Microsoft, Facebook, dan bank-bank utama seperti Wells Fargo dan Chase.

Pada tahun 2019, terdapat petisyen awam menentang BlackRock kerana menjadi pemegang saham utama dalam syarikat pengeluaran minyak, arang batu, dan industri pencemaran.

Walau bagaimanapun, firma ini telah mengalih ke arah melabur dalam Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) pada tahun 2020.