Intan Najuwa ‘sekolahkan’ netizen, “Berjanggut, berhijab, berniqab tak semestinya dijanjikan syurga”
Baru-baru ini, pelakon terkenal, Intan Najuwa berdepan dengan kritkan warganet susulan berkongsi beberapa foto menampakkan bahagian perut sewaktu bercuti di Dubai.
Apa yang menjadi pertikaian ramai adalah penampilan Intan atau nama aslinya Intan Najuwa Abd. Wahid tetap keterlaluan selepas pulang dari mengerjakan umrah.
Intan Najuwa lali kecaman
Susulan itu, aktres berusia 27 tahun itu meminta orang ramai agar tidak membuta tuli menghakimi dirinya berdasarkan penampilannya yang dikatakan ‘seksi‘.
Dalam pada itu, Intan mengakui dirinya sudah lali dengan kecaman netizen yang diterimanya sejak bergelar anak seni.
Jangan mudah hakimi seseorang..
Menerusi kenyataan dikongsikan di laman Insta Story miliknya, Intan mengatakan bahawa menutup aurat tidak semestinya dijanjikan syurga dan orang luar tidak boleh sewenang-wenangnya menghakimi dirinya.
“Kalian hakimi seseorang untuk menjadi alim tetapi kalian tidak tahu akan kehidupan sebenar mereka.
“Jangan membuat andaian seseorang dijanjikan syurga berdasarkan penampilan luaran mereka (berjanggut, berhijab, berniqab dan cara percakapan).
“Penampilan luaran seseorang tidak semestinya melambangkan mereka dekat atau rapat dengan Allah,” kongsinya.
Katanya lagi, dia lebih tahu mengenai diri sendiri berbanding orang di luar sana yang mudah menilai seseorang berdasarkan penampilan.
Patutnya doakan seseorang berubah ke arah kebaikan
Tambah anak kelahiran Johor Bharu itu, orang ramai sepatutnya mendoakan seseorang agar terus berubah dan menjadi orang yang lebih baik, bukannya menghakimi.
“Kalau kalian menghakimi seseorang dengan harapan dia menjadi alim, jangan lupa berdoa buat mereka untuk menjadi orang lebih baik hari demi hari.
“Sama macam apabila kalian cop seseorang itu jahat. Mungkin mereka buat benda jahat dan kita pun bertindak ikut perasaan tetapi jangan lupa masa depan mereka boleh bertukar.
“Insya-Allah, Allah SWT akan bimbing mereka ke jalan yang benar atau kita sendiri akan jadi orang yang diberikan hidayah,” kongsinya lagi.
Sekadar info, Intan menunaikan umrah buat kali kedua pada awal Januari 2023 sehingga menerima pujian ramai. Malah, rata-rata netizen turut mendoakannya berubah menjadi muslimah yang lebih baik selepas pulang dari Tanah Suci Mekah.