Ismail tambah lagi seorang penasihat sempena kejayaan 100 hari pentadbiran Keluarga Malaysia
Semalam Ismail Sabri, PM Malaysia ke-9 bersama-sama barisan anggota kabinetnya meraikan sambutan Karnival 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.
Dalam ucapannya sempena sambutan tersebut, Ismail melahirkan rasa bangganya selepas barisan anggota kabinetnya berjaya mencapai sasaran 90% kejayaan 100 hari pentadbiran kerajaannya.
Karnival yang diadakan selama 4 hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu bermula petang semalam walaubagaimanapun dicemari dengan insiden pelanggaran SOP oleh para menteri dan audien yang hadir.
Sementara itu, sempena meraikan kejayaan tersebut, Ismail dilaporkan telah pun melantik seorang lagi penasihat khasnya menjadikan bilangan koleksi penasihat yang dimilikinya ketika ini bertambah menjadi 4 orang.
Berita pelantikan tersebut tular di kalangan pengguna media sosial lewat malam tadi dengan menyebut nama Ammielyya Jusnieza Ahmad Jafri sebagai individu yang telah dilantik sebagai Penasihat Khas mengkhususkan kepada Belia.
Dia yang merupakan Exco Persatuan Belia-Belia Kebangsaan Malaysia (MAYC) dan juga Naib Pengerusi 1 MAYC Negeri Sembilan dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Belia bagi DUN N14 Ampangan, Negeri Sembilan selama 3 tahun bermula 2013.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Politik dan Kerajaan di UIAM, Ammielyya menjawat jawatan terakhir sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Akedemi Sains Malaysia sebelum dilantik ke jawatan baru tersebut.
Selain itu Ammielyya juga pernah berkhidmat untuk Ismail dalam beberapa kementerian yang diketuai beliau selama menjadi anggota kabinet kerajaan persekutuan.
Dengan jawatan baru ini, Ammielyya bakal menerima peruntukan gaji dan kakitangan sebanyak RM50 ribu sebulan, kelayakan serupa yang diterima Penasihat-Penasihat Khas PM yang lain seperti yang didedahkn Menteri Kewangan sewaktu menjawab soalan berkaitan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Selain Ammielya, MP Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman dan bekas MP Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Johari juga telah dilantik sebagai Penasihat Khas kepada PM baru-baru ini.
Sumber memberitahu, beberapa jawatan Penasihat Khas kepada PM bakal diisi dalam masa terdekat melayakkan Ismail digelar Bapa Penasihat Khas Negara.
Sementara itu, masih tiada kemaskini dan pengesahan dilakukan oleh Ammielyya berkaitan pelantikan tersebut di dalam laman rasmi FBnya ketika ini.
Namun difahamkan, sebarang pengumuman pelantikan hanya akan dibuat secara rasmi oleh PMO sendiri dalam tempoh terdekat.