Kemelut Titah DiRaja : Istana Perak beri ingatan keras fungsi Institusi DiRaja dalam pentadbiran kerajaan melalui khutbah Jumaat
Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam khutbah Jumaat lalu berkata, pihak yang bertanggungjawab menasihati Raja-raja Melayu perlu bersikap jujur dan benar untuk memastikan mereka tidak membuat keputusan salah.
Katanya, raja pemerintah wajib diberikan nasihat mengenai situasi sebenar kehidupan rakyat dan negara untuk memenuhi peranan mereka sebagai penimbang tara yang adil lagi saksama.
“Amatlah penting untuk barisan yang bertanggungjawab dan diamanahkan menasihati raja pemerintah bersifat arif lagi berilmu, telus dan ikhlas, jujur dan benar supaya raja pemerintah tidak diulit mimpi palsu kerana diselindungi daripada fakta dan kenyataan hingga memungkinkan raja pemerintah tersalah titah, tersalah langkah.”
Dalam khutbah bertemakan “Raja pemerintah, penimbang tara yang adil lagi saksama” itu, JAIPk berkata, Raja-raja Melayu perlu bermusyawarah untuk mendapat fakta tepat dan benar, serta mendapatkan pandangan daripada semua pihak.
Katanya, walaupun Raja-raja Melayu tidak mentadbir negara secara langsung, tetapi institusi diraja berperanan mengawasi tadbir urus negara secara teratur, amanah, telus dan berintegriti.
“Raja pemerintah bukan monumen hiasan yang kaku, tanpa nyawa, tanpa jiwa dan bukan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan.
“Raja pemerintah dikurniakan Ilahi dengan akal dan fikiran serta dilengkapkan deria dan disempurnakan dengan hati. Segala apa yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan dan pendengaran raja pemerintah.
“Oleh itu, amatlah tidak munasabah jika institusi ketua utama negara dan raja pemerintah di negeri-negeri diwujudkan untuk menyempurnakan tugas-tugas istiadat keraian semata-mata, atau dianggap boneka untuk menurunkan mohor perkenan kepada setiap dokumen yang dipersembahkan, dengan mata tertutup, mulut terkunci dan tangan terikat, diwajibkan tanpa pilihan memberi sepenuh perkenan tanpa soal atas apa juga perkara yang diangkat sembah kepada baginda, apatah lagi jika nasihat tersebut tergelincir daripada landasan keadilan atau berunsur penindasan yang boleh memudaratkan rakyat dan negara.”
Menurut khutbah itu, Raja-raja Melayu tidak boleh memihak kepada mana-mana individu, kumpulan atau parti politik demi meningkatkan tahap keyakinan rakyat terhadap sistem berkerajaan dan bernegara yang berteraskan amalan demokrasi serta berakarkan doktrin pengasingan kuasa.
“Raja pemerintah berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan, juga berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman demi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab.”
Sumber : FMT