Isteri krew MH370 kecewa dengan sikap pelawak Singapura, anggap tiada empati – “Anak saya sehingga ke hari ini masih menangis”

Isteri krew MH370 kecewa dengan sikap pelawak Singapura, anggap tiada empati – “Anak saya sehingga ke hari ini masih menangis”

 

Isteri kepada kru pesawat MH370, Intan Maizura Othman yang gagal ditemui sehingga kini tampil menyelar dan meluahkan rasa terkilan dengan sikap pelawak Singapura, Joyelyn Chia kerana mempersendakan tragedi tersebut.

Intan dalam hantaran di laman Instagram miliknya berkata, apa yang disebut oleh pelawak tersebut tidak kelakar kerana anak lelakinya, Muhammad masih menangis sehingga ke hari ini lantaran kehilangan seorang ayah.

Bukan itu sahaja, pelawak berkenaan yang difahamkan bukan lagi warganegara Singapura berani mempersendakan tragedi tersebut di hadapan khayalak ramai termasuk berkongsi di media sosial.

“Ia sangat tidak lawak. Tidak kisah seberapa jahatnya kamu, jangan sesekali memetik MH370 atau bergurau senda akan tragedi berkenaan.

“Anak saya, Muhammad, dia masih lagi menangis sehingga ke hari ini atas kehilangan seorang papa. Dan, kamu boleh lagi mempersendakan tragedi MH370,” luahnya.

Tambah Intan Maizura, pelawak berkenaan seharusnya sedar bahawa tragedi tersebut sememangnya masih meninggalkan impak besar kepada seluruh keluarga mangsa terlibat.

Malah, ibu kepada dua cahaya mata berkenaan menyifatkan pelawak berkenaan tidak mempunyai sedikit pun perasaan empati.

“Adakah kamu tahu berapa ramai ibu yang masih menangis sehingga ke hari ini? Kamu tidak tahu kerana kamu tidak mempunyai empati dan hati.

“Atau kamu tidak mempunyai keluarga, malah jika kamu ada keluarga, saya percaya mereka akan berasa malu hari ini atas kebodohan kamu,” ujarnya lagi.

Luah Intan Maizura, adalah lebih baik sekiranya menetap di negara membangun tetapi mempunyai hati serta perasaan berbanding tinggal di negara yang kononnya kelas pertama di dunia.

Intan Maizura yang juga kehilangan suami, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan dalam tragedi sembilan tahun lalu sewaktu sedang mengandung anak kedua, Muhammad turut meminta supaya berhenti normalisasi perkara bodoh demi meraih perhatian.