Isu ceramah ditukar: Ustaz ini dedah perkara sebenar, ingatkan jangan sembang dan poyo!

Isu ceramah ditukar: Ustaz ini dedah perkara sebenar, ingatkan jangan sembang dan poyo!

 

Isu tukar penceramah, batal ceramah atau black list individu tertentu dari berceramah di tempat tertentu bukan isu baru. Sudah puluhan tahun. Cuma hari ini kita hidup di zaman kebanjiran media sosial. Apa sahaja isu, cepat diketahui umum.

Isunya 2:

1) Tauliah – itu hak pihak berkuasa agama negeri-negeri yang dinaungi oleh Sultan sebagai ketua agama setiap negeri. Mereka ada syarat dan peraturan masing-masing. Kita hormati autoriti tersebut. Usaha minta tauliah. Tidak dapat atau gagal, bukan bermakna dakwah tertutup. Banyak lagi ruang yang terbentang luas. Manfaatkanlah.

2) Politik kepartian – naiklah parti mana pun yang memerintah kerajaan, hal yang sama dilakukan iaitu menapis para penceramah yang sehaluan dan sealiran dengan kerajaan, yang dilihat boleh membawa suara kerajaan atau setidak-tidaknya kelihatan neutral atau bebas. Sejak dahulu lagi. Bukan hari ini bermulanya. Semua agensi di bawah kerajaan, dikawal seperti itu. Bukan menyekat dakwah, tetapi mencari mereka yang dilihat sealiran.

Masjid dan surau pun berlaku begitu. Kadangkala bukan kerana penceramah tiada tauliah, tapi pihak pengurusan masjid dan surau yang dikuasai oleh majoriti kelompok tertentu yang menapis penceramah supaya sealiran dengan kelompok mereka.

▶️Pernah berkali-kali saya hubungi pihak surau bertanyakan status ‘kuliah malam ini diteruskan atau tak?’. Langsung tidak berbalas. Dalam perjalanan menuju ke tempat kuliah, AJK surau yang lama hubungi maklumkan ‘kuliah dah diberhentikan. Sengaja AJK baru tidak mahu maklumkan’.

▶️Berlaku hal yang sama di satu tempat lain. AJK tidak maklum kuliah diberhentikan sehingga saya tahu dari orang lain. Satu masa, saya terserempak dengan AJK tersebut, cepat-cepat beliau bawa kereta dan memecut laju mengelak untuk bertemu saya.

▶️Pernah seorang pengerusi masjid hubungi saya. ‘Saya mahu jemput ustaz kuliah bulanan, tapi ada orang masjid yang tidak benarkan sebab katanya ustaz lari dari perjuangan Islam’. Tidak tahukah mereka setiap hari apa perjuangan Islam yang saya buat?
Banyak lagi kisah-kisah sedih dan pedih ini kalau mahu diselongkar dan disenaraikan.

▶️Seorang sahabat saya dari satu negeri ke negeri lain. Puluhan kilometer. Sampai depan masjid, AJK masjid maklumkan kuliah ustaz malam ini kami batalkan. Sengaja kami tak maklum awal. Sengaja kami nak bagi tahu depan ustaz sebab ustaz lari dari perjuangan. Tidak zalimkah cara itu?

▶️Zaman mahasiswa dulu pun begitu. Walaupun sekapal, sebahtera, tetapi kerana ada hal-hal yang tidak sependapat, adik-adik mahasiswa pun diberi list penceramah dikalangan alumni yang boleh dijemput dan tidak boleh dijemput.

Jadi, jangan sembang dan poyo untuk ulas isu ini untuk mempertahankan tokoh yang kita sayang, kagum dan minat sahaja. Kalau nak jadi pembela, bercakap pada semua isulah !!!

USTAZ FADHLULLAH ISMAIL
Pendakwah