Isu Hina Hadi : Mintak maaf atau kami langgar
Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin meluahkan rasa terkilan terhadap hantaran Exco Pemuda Umno, Shahrul Nasrun Kamaruddin, yang dianggap menyindir Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Ia susulan kenyataan Shahrul Nasrun di Facebooknya yang mempersoalkan Abdul Hadi tidak menyertai lawatan rasmi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi, sedangkan dia adalah Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.
Justeru, Khairil Nizam menuntut Shahrul Nasrun memohon maaf secara terbuka dan jika tidak pihaknya akan ke pejabat Pemuda Umno di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur.
“Ya saya terkilan dan marah. Dalam bulan Rejab yang penuh dengan barokah ini. Pagi petang, siang malam, setiap hari, kita bincang dan usahakan untuk perkasakan perpaduan ummah.
“Tiba-tiba ada exco pergerakan Pemuda Umno Malaysia jadi batu api. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
“Kita minta pernohonan maaf secara terbuka,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Hantaran Shahrul Nasrun itu mendapat teguran dan kritikan pemimpin Pemuda PAS.
Shahrul Nasrun kemudiannya mendakwa kenyataannya sekadar menyakat presiden PAS itu.
Dia kemudiannya memohon maaf dan memandam hantaran berhubung perkara itu di media sosial.
Dalam pada itu, Khairil Nizam yang juga ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, pihaknya telah menyampaikan perkara itu Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dan naib ketuanya, Shahril Hamdan.
“Kalau tak jalan juga, saya akan datang ke pejabat Pemuda Umno Malaysia di PWTC,” tegasnya.
Dalam kenyataan susulan Shahrul Nasrun berkata dia meminta maaf jika hantaran tersebut menyebabkan salah sangka.
Malah katanya dia tidak ada niat membuat PAS berasa marah.
“Saya cuba bertanya. Bagi saya tidak wajar sama sekali duta khas bertaraf menteri tidak dibawa bersama.
“Sekiranya menteri luar negeri hadir sama, sepatutnya PM juga wajar untuk membawa duta khas bertaraf menteri untuk ikut serta,” katanya di Facebook. – MK