Jalin hubungan sulit dengan suami, kakak hilang akal tembak adik kandung sendiri
SEORANG kakak bertindak menembak adiknya selepas mengesyaki wanita itu menjalinkan hubungan sulit bersama suaminya.
Memetik Mstar, kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada 9 Ogos lalu di kawasan perumahan Shastri Park, New Delhi, India.
Menurut kenyataan polis, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada petang hari kejadian, selepas menerima panggilan daripada hospital berhubung kemasukan seorang wanita yang cedera kerana terkena tembakan.
Hasil siasatan yang dijalankan, mangsa yang dikenali sebagai Sumaila Begum, 20, pada mulanya bertengkar dengan kakaknya, Sonu, 30, ekoran isu berkenaan.
Sonu mendakwa adik dan suaminya sudah lebih setahun menjalinkan hubungan sulit dan pernah meminta mereka memutuskan hubungan, namun tidak diendahkan.
Sumaila kemudian dikejarkan ke hospital Jag Pravesh Chandra oleh seorang lagi kakaknya yang tinggal berdekatan.
Sonu ditangkap pada keesokan harinya dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan India berkaitan Akta Senjata kerana percubaan membunuh.