Jangan urus UMNO seperti hak peribadi, Annuar pesan Zahid

Jangan urus UMNO seperti hak peribadi, Annuar pesan Zahid

Perseteruan antara Annuar Musa dan presiden partinya, Zahid Hamidi memasuki fasa baru hari ini. Ini selepas kedua-duanya saling berbalas kenyataan berikutan isu terkini berkaitan dokumen bocor yang didakwa sebagai ‘PasLeaks’ baru-baru ini.

Semalam, dalam laporan yang disiarkan Awani, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan dokumen ‘PasLeaks’ yang didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin UMNO bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak perlu diperbesarkan.

Ini selepas kenyataan beberapa pimpinan MPT UMNO pro Zahid yang meluahkan kegusaran terhadao kebocoran dokumen tersebut termasuk Isham Jalil, yang lebih dikenali sebagai ‘budak suruhan’ Najib mendesak agar Pas segera melakukan sumpah laknat bagi menafikan kewujudan dokumen tersebut.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata berdasarkan pemahamannya setelah meneliti dokumen itu, ia hanyalah catitan pemimpin Pas dalam mencari fakta mengenai pandangan beberapa pemimpin parti lain.

Namun, selepas kenyataannya mengenai dokumen tersebut dibuat dikritik Zahid, Annuar Musa tampil mengulas isu kesetiaan kepada parti.

Memetik laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, kesetiaan kepada parti adalah hal amat penting, namun ia berbeza dengan setia kepada individu.

“Kesetiaan pada parti memang amat penting. Ia berbeza dengan setia kepada individu, yang kadangkala dianggap sebagai tanda setia pada parti.

“Kesilapan individu, perlakuan individu yang menyalahi roh, matlamat dan semangat perjuangan parti tidak boleh menuntut kesetiaan kerana itu individu dan bukannya parti,” kata Annuar dalam satu hantaran di Facebooknya.

ADS
Sebelum ini tular di media sosial beberapa keratan didakwa minit mesyuarat PAS yang merancang untuk menjatuhkan Umno dan BN, termasuk menyegerakan usaha memastikan Ahmad Zahid dipenjarakan.

Semalam Presiden Umno itu mengingatkan pemimpin parti supaya tidak “menderhaka” kepada parti dengan mengikut rentak musuh yang penuh dengan muslihat.

Meskipun tidak menyebut nama, kenyataan Ahmad Zahid dipercayai jelas merujuk kepada Annuar.

Usah menikam dalam senyuman

Annuar bagaimanapun berkata, teguran kepada individu atau perlakuan tertentu, bukan satu perlakuan yang menunjukkan ketidaksetiaan kepada Umno.

“Sering parti dijadikan perisai tindakan peribadi. Parti tidak boleh diurus sebagai hak peribadi.

“Membelakangi mandat parti, tidak menjunjung amanah parti, tindakan tidak patuh kepada keputusan parti, lain ditetapkan parti lain dibuat di luar pengetahuan parti, membohongi parti adalah antara tanda tidak setia kepada parti,” jelasnya.

Untuk rekod pergeseran antara Annuar dan Ahmad Zahid bukan perkara baru.

Annuar sebelum ini pernah mendakwa Ahmad Zahid memberikan perakuan bersumpah bagi menyokong ahli parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim untuk dilantik menjadi perdana menteri menggantikan Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Annuar berkata, tindakan mempertikai kesetiaan hanya akan menanam kebencian sesama ahli dan hanya akan melemahkan Umno.

“Pendek kata, kalau pun jasa tak mahu dikenang, setiakawan mahu disalah ertikan, usah soal setia mahu dibicarakan.

“Usah menikam dalam senyuman,” katanya.