Jazlan dedah angka kerugian ditanggung kerajaan akibat pembatalan HSR
Semasa YB Menteri di JPM menjawab soalan berkaitan projek HSR di Dewan Rakyat pagi ini, saya juga telah berdiri lama tapi saya tidak mendapat peluang untuk bertanya soalan tambahan kepada YB Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) YB Dato Sri Mustapa Mohamed memberitahu Dewan hari ini bahawa kerajaan masih berhasrat untuk meneruskan projek HSR Kuala Lumpur-Johor Baharu.
Dato Sri Mustapa berkata, kajian mengenai laluan Kuala Lumpur-Johor Bahru yang bermula pada Februari telah siap dan dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Tetapi saya berpandangan Rakyat Malaysia berhak mengetahui kenapa, dan berdasarkan data apa yang mendokong kerajaan membuat keputusan untuk membatalkan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dengan membayar pampasan RM320 juta kepada kerajaan Singapura untuk digantikan dengan projek HSR Kuala Lumpur ke Johor Baharu.
Minggu lepas, saya disalurkan maklumat yang saya lampirkan di sini bahawa ini adalah antara angka-angka berkenaan perbandingan unjuran jumlah penumpang, unjuran jumlah hasil pendapatan tambang HSR dan kos projek HSR KL-Singapura dengan KL-Johor Baharu.
Unjuran jumlah penumpang setahun dikatakan akan turun 10.4 juta orang (28%) dari 37.3 juta ke 26.9 juta penumpang manakala hasil pendapatan tambang akan menurun RM352 bilion dari RM929 bilion ke RM577 bilion sekiranya HSR KL-Singapura diganti dengan HSR KL-JB.
Sebaliknya, penjimatan kos projek HSR KL-JB cuma RM3.6 bilion ataupun 5.3% lebih murah berbanding projek HSR KL-Singapura.
Sebanyak RM3.3 bilion juga akan dibayar kepada syarikat ERL untuk menaik taraf sistem ERL KLIA-KL Sentral sedia ada manakala pampasan antara RM5.7 bilion hingga RM7.7 bilion telah diperuntukkan sebagai bayaran pampasan kepada syarikat ERL bagi tempoh projek.
Jadi, soalan saya kepada kerajaan adalah:
1️⃣ Adakah angka-angka ini tertulis dalam kertas kabinet yang dibentang semasa jemaah menteri membuat keputusan pada akhir tahun 2020 lepas untuk membatalkan projek HSR KL-Singapura untuk diganti dengan projek HSR KL-Johor Baharu?
2️⃣ Kenapa syarikat ERL telah dipilih terdahulu dan siapa pemegang saham terbesar syarikat ERL?
3️⃣ Kenapa kos RM3.3 bilion diperuntuk untuk membayar syarikat ERL untuk menaik taraf sistem ERL sedia ada dan mengapa pampasan sehingga RM7.7 bilion telah diperuntuk untuk dibayar sebagai pampasan kepada syarikat ERL?