Jemput pemimpin UMNO serah surat tawaran belajar, tindakan UUM undang bantahan kakitangan sendiri

Jemput pemimpin UMNO serah surat tawaran belajar, tindakan UUM undang bantahan kakitangan sendiri

Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) mempersoalkan tindakan universiti awam menggunakan ahli politik untuk menyampaikan surat tawaran kepada bakal pelajar.

Kumpulan itu merujuk kepada tindakan ketua Umno Sik Mohd Tajuddin Abdullah menyampaikan dokumen itu bagi pihak Universiti Utara Malaysia (UUM), seperti yang dilaporkan portal akhbar Malaysiakini.

“Persoalannya: Kenapa UUM – atau mana-mana universiti awam – perlu ketua parti politik untuk serahkan surat tawaran bagi pihak mereka?

“Dan lebih membimbangkan, di mana hubungan ini bermula dan bila ia akan berakhir?” soal Gerak, kumpulan yang memperjuangkan kebebasan akademik.

Pergerakan itu menegaskan UUM sebagai sebuah institut pengajian tinggi awam didanai oleh pembayar cukai dan bukan milik mana-mana parti.

Justeru, katanya, ia mesti menyumbang semula kepada masyarakat melalui pendidikan dan kajian di peringkat tinggi – dalam dan luar negara.

“Untuk melakukannya, universiti awam seperti UUM, harus bebas daripada sebarang tekanan luar,” kata Gerak.