Jika subsidi petrol RON95 dimansuhkan, ini jumlah bantuan kewangan yang bakal diterima pemilik kereta & motor yang layak

Jika subsidi petrol RON95 dimansuhkan, ini jumlah bantuan kewangan yang bakal diterima pemilik kereta & motor yang layak

 

Walaupun kerajaan berkata ia sedang mengkaji perluasan program rasionalisasi subsidi bahan api untuk petrol RON 95, namun, tiada sebarang keputusan dibuat dalam masa ini.

Bagaimanapun, pelaksanaannya tidak dapat dielakkan, walau mungkin bukan dalam masa terdekat.

Namun, isu yang sedang diperkatakan sekarang ini ialah berapakan jumlah minima bagi bantuan kewangan secara bulanan yang bakal disalurkan kepada individu yang layak?

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berpendapat sekurang-kurangnya RM50 sebulan untuk pemilik motosikal dan RM150 untuk pemilik kereta.

“Sebelum ini sudah ada pengiraan dibuat cuma tidak rasmi iaitu pemilik motosikal akan dapat RM30 sebulan dan pemilik kereta yang kurang 1,000cc terima RM120. Kalau diikutkan jumlah itu memang tidak cukup,” katanya kepada Sinar Harian.

Buat masa ini, RON 95 tanpa subsidi dijual pada harga RM3.19 seliter, menurut Double selaku peruncit bahan api tanpa subsidi yang menjualnya di beberapa stesen minyak di Perlis.

Berdasarkan kadar ini dan harga bahan api bersubsidi RM2.05 seliter sekarang, bantuan tunai RM150 akan menampung 131.7 liter petrol pertama yang digunakan dalam sebulan.

Pada masa ini, jumlah bantuan Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel ialah RM200 sebulan.

Berkenan dengan bantuan yang boleh disalurkan, beliau berkata kerajaan mempunyai sekurang-kurangnya lima kaedah untuk pengagihan subsidi petrol bagi mengelakkan ketirisan.

Pertama, menggunakan kad pengenalan (MyKad) dan kedua, pengenalan ID khas baharu. Manakala tiga kaedah lain melibatkan pemindahan tunai melalui kad debit atau kredit, baucar tunai dan mewujudkan sistem khas seperti e-dompet.

“Kad pengenalan adalah antara asas paling penting yang perlu difokuskan kerajaan jika ingin melaksanakan penyasaran minyak petrol RON95 supaya ia sampai kepada golongan sasar,” katanya.

Walau bagaimana pun, Barjoyai berkata perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah kumpulan yang layak untuk mendapat subsidi ini. Kelayakan ini perlulah ditentukan oleh satu data yang lengkap seperti sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

“Sistem inilah (PADU) yang akan menentukan nanti berapa banyak jumlah subsidi boleh diberikan melalui model-model penyaluran sama ada menggunakan kaedah pemindahan tunai melalui kad debit atau kredit, baucar tunai, mewujudkan sistem khas seperti e-dompet dan ID khas nanti,” katanya lagi.

Walau pun adanya pendaftaran menerusi PADU, namun kerajaan telah meminta mereka yang layak mendapat subsidi diesel mendaftar sekali lagi menerusi program Budi, membuatkan orang ramai tertanya-tanya apa fungsinya PADU?

Barjoyai juga percaya langkah terbabit tidak akan berlaku dalam masa terdekat, dan ia mungkin akan dilaksanakan pada seawal-awalnya Jun tahun hadapan.

“Saya tidak rasa penyasaran subsidi petrol akan dibuat pada tahun ini kerana kerajaan memerlukan data daripada pengalaman subsidi diesel yang baharu dilaksanakan awal Jun ini. Paling penting kerajaan hendak tahu kesan ke atas inflasi, harga barang dan sebagainya.

“Statistik ini hanya akan diketahui pada suku tahun ketiga pada Oktober depan. Selepas memperoleh statistik ini ada hal-hal lain juga yang perlu diteliti pula oleh kerajaan,” jelasnya.