Johari pertahan makan ubi kayu ganti beras
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mempertahankan saranan pengambilan ubi kayu bagi menggantikan bekalan beras putih tempatan (BPT) walaupun mendapat kecaman pelbagai pihak.
Beliau menjelaskan, cadangan itu hanya satu langkah sementara sehingga bekalan beras tempatan mencukupi.
Katanya, negara mempunyai tanah yang terbiar, luas serta sesuai ditanam ubi kayu atau bijirin selain tanaman padi.
“Tetapi cuma ubi kayu ada karbohidrat seperti beras, jadi jika beras isunya, boleh tak kita cari alternatif lain menampung kekurangan beras menggunakan ubi kayu,” katanya ketika dihubung
Utusan Malaysia, semalam.
Sebelum ini, saranan Johari itu mengundang kritikan ramai pihak termasuk menganggapnya
tidak masuk akal, seolah-olah menggambarkan kerajaan gagal menangani isu berkaitan bekalan dan harga beras.
Malah, terdapat pemimpin pembangkang menyifatkan saranan itu sebagai tanda keegoan kerajaan bagi menafikan kegagalan menguruskan keperluan harian rakyat.
Mengulas lanjut, Johari berkata, makan ubi kayu sebagai sumber alternatif karbohidrat itu juga dilihat mampu mengurangkan pengambilan bekalan beras yang berkurang.
“Kita orang Malaysia selalu sarapan, makan tengah hari dan makan malam dengan mengambil nasi. Ia boleh menyebabkan kencing manis jika tidak bersenam.
Jadi kalau tukar makan ubi kayu atau lain-lain makanan ketika sarapan, maka kurang makan nasi cuma dua kali iaitu pada tengah hari dan malam,” katanya.
Pada masa sama, Johari berkata, banyak negara seluruh dunia sedang menanam ubi kayu untuk dieksport ke China, maka mengapa tidak memanfaatkan kesempatan itu atau untu kegunaan sendiri.
Selain itu, terbukti kandungan gula dalam ubi kayu jauh lebih rendah daripada beras.
“Soalan adakah saya makan ubi kayu? Ya saya makan. Saya suka ubi kayu sebab saya melihat seorang Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot, badan cantik (sihat) walaupun sudah lapan penggal menjadi ahli Parlimen. Apabila saya tanya, beliau beritahu makan ubi kayu,” katanya.