Jokowi lancar kilang bateri EV pertama di Indonesia

Jokowi lancar kilang bateri EV pertama di Indonesia

 

Indonesia melancarkan kilang bateri kenderaan elektrik (EV) pertamanya hari ini, dengan kerjasama dari syarikat Korea Selatan.

Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi, berkata kejayaan itu berjaya dikecapi ketika negara terbabit sedang berusaha bertapak dalam industri baharu berkenaan.

“Kilang yang terletak di bandar Karawang, Jawa Barat adalah yang terbesar di Asia Tenggara,” katanya pada majlis pelancaran kilang itu.

Indonesia menjadi negara ekonomi terbesar termasuk hab bagi rizab nikel di rantau ini, berusaha untuk menjadi pemain utama dalam rantaian bekalan EV global.

Kilang itu yang dibina hasil usaha sama antara syarikat dari Korea Selatan, Hyundai Motor Group dan LG Energy Solution (LGES), boleh menghasilkan sehingga 10 Gigawatt jam (GWj) sel bateri setiap tahun.

Pada masa sama, Jokowi berkata, pembukaan kilang itu menandakan penanda aras baharu bagi mencapai cita-citanya untuk menjadi pemain global dalam rantaian bekalan EV.

“Kita mempunyai sumber asli yang banyak, namun selama beberapa dekad lalu, kita hanya mengeksportnya dalam bentuk bahan mentah tanpa adanya nilai tambah.

“Sekarang dengan pembinaan sel bateri EV, kami akan menjadi pemain global yang penting dalam rantaian bekalan global untuk kenderaan jenis itu,” katanya.

Pembinaan kilang itu adalah sebahagian daripada perjanjian membabitkan bateri EV bernilai AS$9.8 bilion (RM46.25 bilion) yang ditandatangani antara Indonesia dan LG pada 2020.

Ia akan mengeluarkan bateri untuk EV Hyundai, dengan 50,000 SUV Kona Electricnya dijangka dihasilkan oleh Indonesia.

Syarikat usaha sama PT HLI Green Power dijangka membelanjakan AS$2 bilion (RM9.43 bilion) untuk meningkatkan kapasiti loji kepada 20 GWj.

Pengerusi Eksekutif Hyundai Motor Group, Euisun Chung, berkata industri EV Indonesia berupaya mewujudkan peluang ekonomi baharu di negara itu.

“Indonesia adalah pasaran automotif terbesar di Asia Tenggara. Kenderaan yang dihasilkan dan dijual di sini adalah penanda aras bagi rantau Asia Tenggara dengan 700 juta pelanggan berpotensi.

“Sumber mineral di negara ini, seperti besi dan nikel, adalah komponen penting bateri yang akan menggerakkan jutaan EV di Indonesia,” katanya.