Jutawan ekspres, guru bakal bersara menang RM1 juta! Konsisten menyimpan RM200-RM500 sejak 2009 di BSN
Hasrat seorang guru yang mahu mengerjakan haji secepatnya tertunai apabila lelaki itu berjaya memperoleh ‘durian runtuh’ sebanyak RM1 juta.
Guru berkenaan, Rosli Omar dijangka menerima wang itu setelah diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (BSN SSP).
Dalam acara cabutan yang diadakan kali ke-92 itu, Rosli memenangi RM1 juta hasil usahanya menyimpan secara konsisten dalam BSN SSP semenjak dari tahun 2009.
Menurut Rosli, kemenangan itu diperoleh kerana dirinya berpegang pada peribahasa ‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian’.
Pemenang cabutan bulan September 2023 itu berkata, tabungan SSP tersebut mula dilakukan secara serius dengan simpanan serendah RM200 sebulan, lapor Berita Harian.
“Saya mula menabung SSP dengan simpanan serendah RM200 kemudian naik ke RM500. Mungkin juga keberkatan orang berikan duit pada saya.
“(Seperti pemberian) daripada anak-anak dan sesiapa sahaja yang sumbang, saya akan simpan. Saya berminat tengok orang dapat rumah banglo, kereta mewah dan wang tunai.
“Jadi, saya rasa ini peluang yang tidak rugi untuk dilakukan bagi tujuan simpanan kita, ditambah pula kadar dividen ditawarkan,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Jelas guru Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu Bagan Serai, Perak itu, sebahagian wang tersebut bakal digunakan untuk mengerjakan ibadah haji bersama isteri.
Selain ibadah haji, lebihan daripada duit RM1 juta itu akan menampung perbelanjaan dua orang anaknya yang kini menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT).
Rosli Omar yang berusia 59 tahun itu turut mengingatkan orang ramai mengenai kepentingan sasaran jangka pendek dan panjang dalam membuat simpanan kewangan.
“Tentunya saya mahu pergi Haji kerana umrah sudah pergi tahun 2016. Kalau nak ikut giliran memang lambat lagi. Alhamdulillah rezeki, dapat saya pergi dengan cepat bersama isteri.
“Kalau pergi dengan Tabung Haji atau cara pintas pun perlu RM30,000. Kalau dua org RM60,000. Nak elok sikit mungkin lebih RM50,000 untuk seorang.
“Alhamdulillah, Allah bagi jalan untuk mudahkan saya ke sana, insya-Allah dalam perancangan (mengerjakan haji).” Ulasnya lagi.