Kalah saman fitnah: Jangan ego, minta maaf secara terbuka kepada PM, Mahfuz nasihat Sanusi

Kalah saman fitnah: Jangan ego, minta maaf secara terbuka kepada PM, Mahfuz nasihat Sanusi

 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor harus mengambil iktibar berhubung keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya, yang mengekalkan hukuman bersalah atas kesalahan memfitnah yang dilakukan beliau pada 2019.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, sehubungan itu Muhammad Sanusi dinasihatkan agar tidak berterusan bersikap ego selain meminta maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes saman dikemukakan Anwar terhadap Muhammad Sanusi, Disember lalu.

Menurutnya, keputusan saman fitnah berkenaan membuktikan perbuatan Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah adalah salah dan menyerlahkan sikap beliau yang gemar mengeluarkan kenyataan berunsur negatif.

“Saya bersyukur keputusan mahkamah menyebelahi saya, ini adalah kemenangan kedua di peringkat Mahkamah Rayuan selepas menang pertama kali kes sama di Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Perbuatan fitnah merupakan perkara yang serius. Masyarakat harus melihat keputusan ini sebagai bukti Muhammad Sanusi cenderung untuk mengaibkan orang, memburukkan serta memfitnah orang sehingga perkara sama turut berlaku kepada Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Muhammad Sanusi wajar menjadikan kes terbabit sebagai panduan dan pengajaran dalam berdepan kes saman Anwar selepas ini.

“Muhammad Sanusi sewajarnya berunding dengan peguam Anwar untuk mohon maaf secara terbuka, ia perlu dilakukan demi kepentingan rakyat dan negeri Kedah.

“Adalah tidak elok untuk menunjukkan sikap ego, sehingga akhirnya apabila mahkamah buat keputusan dan tidak menyebelahi beliau, akan memburukkan lagi keadaan apabila ketua kerajaan disahkan melakukan perbuatan tidak sewajarnya,” jelasnya.

Mahkamah Rayuan pada Isnin memerintahkan Muhammad Sanusi membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 kepada Mahfuz, berhubung saman fitnah yang dikemukakan berhubung isu pemindahan premis judi ke kawasan Pokok Sena.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Wong Kian Kheong membenarkan rayuan balas Mahfuz untuk kuantum ganti rugi dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM120,000.

Panel hakim sama menolak rayuan Muhammad Sanusi untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 November 2021 yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada Mahfuz selepas membenarkan saman fitnah Mahfuz.

Disember lalu, Anwar turut memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi berhubung ucapannya yang berbaur fitnah dalam kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’ pada 13 November lalu.