Kami tidak takut meskipun diugut dengan tindakan tatatertib dan ditahan polis, luah peserta Hartal Doktor Kontrak

Kami tidak takut meskipun diugut dengan tindakan tatatertib dan ditahan polis, luah peserta Hartal Doktor Kontrak

Kami tidak takut! Demikian luah seorang pegawai perubatan kontrak yang menyertai Hartal Doktor Kontrak di sebuah hospital di sini pada Isnin.

Beliau yang mahu dikenali sebagai Dr Siti berkata, seramai 170 doktor kontrak di hospital berkenaan diberi amaran sehari sebelum tunjuk perasaan tersebut diadakan.

Bagaimanapun, tinjauan Astro AWANI pada jam 11 pagi tadi mendapati beberapa pegawai perubatan kontrak dilihat bertindak berjalan keluar menuju ke kawasan parkir, sebelum masuk kembali ke hospital.

Walaupun ia berlangsung hanya dalam beberapa minit, namun mesej di sebalik pergerakan keluar itu cukup besar buat mereka.

Jelas pegawai perubatan yang sudah berkhidmat lebih lima tahun itu, selama ini suara dan isi hati mereka seolah-olah diabaikan oleh pihak berkaitan.

Menurut Dr Siti, apa yang dilakukan hari ini bukan satu bentuk provokasi, tetapi hanyalah menuntut keadilan selepas bertahun-tahun mereka berhempas-pulas mengerah keringat.

“Kita hanya mahu didengar… kami sangat-sangat sedih dan kecewa. Apa salah kami? Apa yang dituntut tidak dapat diberikan kepada kami, dan ia tidak adil. (Sebaliknya), apa yang dituntut ini dikatakan berlebih-lebih.

“Semalam, surat pekeliling tiba-tiba dikeluarkan dan kami diberikan amaran akan dikenakan tindakan tatatertib dan ditahan oleh polis.

“(Bagaimanapun), kami tidak takut. Takut itu bukan satu perkataan yang digunakan dalam proses Hartal Doktor Kontrak ini. Apa yang kami tunjuk adalah rasa tidak puas hati dan ketidakadilan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Hartal Doktor Kontrak merancang melakukan pergerakan keluar dari hospital di bawah seliaan Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara secara beramai-ramai sebagai bantahan.

Ia susulan doktor kontrak berhadapan risiko kehilangan pekerjaan selepas tamat lima tahun perkhidmatan wajib mereka di hospital kerajaan.

Bagaimanapun, pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak pegawai perubatan dan pegawai pergigian untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas.

Mengulas lanjut, Dr Siti berkata keputusan yang dibuat oleh kerajaan itu disifatkan sebagai acuh tak acuh.

“Apa hak mereka untuk mengambil hak sebagai seorang doktor dengan hanya memberi peluang kepada kami untuk menjadi doktor dalam masa empat atau dua tahun? Jadi, saya rasa benda itu tidak adil,” tambahnya.

Tegas Dr Siti, meskipun menyertai Hartal Doktor Kontrak, kebajikan pesakit sentiasa menjadi keutamaan mereka.

“Sebelum kami tinggalkan stesen masing-masing, kami akan passover kepada rakan setugas yang lain.

“Maksudnya, sebelum kami tinggalkan pesakit masih terjaga dan tiada istilah pesakit terabai kerana perkara ini telah dirancang,” ujarnya lagi.

Selain Hospital Serdang, beberapa hospital lain di Lembah Klang turut menyertai pergerakan tersebut.

Di Hospital Kuala Lumpur, dianggarkan seramai 50 orang doktor kontrak berhimpun di tingkat enam kawasan parkir.

Untuk rekod, kira-kira 23,000 daripada 52,000 doktor di bawah KKM ketika ini berstatus kontrak, dan kebanyakan mereka juga terlibat secara langsung dalam menguruskan pandemik COVID-19.

Sumber – AstroAWANI