Kenaikan RM100 cas sewa padang punca pemilik Kelantan FC ‘merajuk’

Kenaikan RM100 cas sewa padang punca pemilik Kelantan FC ‘merajuk’

Kelantan FC menafikan pasukan itu ‘dihalau’ daripada menggunakan padang latihan di Pejabat Pertanian Lundang, Kota Bharu selepas sekeping gambar penutupan jalan ke padang itu tular di media sosial sejak kelmarin.

Menurut pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman, pasukannya tidak lagi menjalani latihan di situ selepas bayaran sewaan padang berkenaan naik daripada RM3,500 kepada RM3,600, sekali gus sukar buat skuad The Red Warriors (TRW) menampung kadar kenaikan itu.

Ujarnya lagi, beliau akui ada sedikit tunggakan namun pihaknya sudah mengambil langkah penyelesaian termasuk menggunakan duit deposit yang pernah diberikan sebelum ini.

“Padang pertanian itu bukannya padang kita, tapi padang sewa. Biasalah ada setiap tahun ada kenaikan, jadi sekarang sewa kat situ dah nak (naik) daripada RM3,500 kepada RM3,600 dan memang kita ada tunggakan, sedikit tunggakan.

“Tapi bukanlah tunggakan tak ada apa-apa (tak bayar langsung), kita ada deposit yang kita dah beri deposit. Jadi isu tunggakan bukanlah sampai berbulan atau berpuluh bulan tak ada, cuma ada sikit tunggakan.

“Isunya lebih kepada kita nak tukar padang kerana terdapat kenaikan sewa padang, jadi sementara ini kita dah ada dua pilihan padang di kawasan di Kelantan juga.

“Sementara saya muktamadkan padang yang kita nak sewa ‘long term’, dan kita memang ada perancangan nak beli tanah dan juga sewa. Tapi itu dalam proses lagi, cumanya kita nak selesaikan yang utama dulu iaitu kita nak pastikan kita punya lesen (Lesen Kebangsaan) dapat tahun depan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, tular di laman sosial jalan ke pusat latihan di Pejabat Pertanian Lundang, Kota Bharu ditutup menggunakan kayu penghadang sekali gus menimbulkan persoalan dan kemarahan penyokong TRW yang mengecam pengurusan pasukan kerana tidak habis-habis terpalit dengan kontroversi.

Terdahulu, isu tunggakan gaji menghantui Kelantan FC sehingga seorang demi seorang pemain dan pegawai pasukan itu meninggalkan pasukan.

Ditanya lokasi baharu tempat latihan TRW, Norizam berkongsi terdapat dua pusat latihan yang sedang digunakan di mana ia jauh lebih murah berbanding sebelum ini.

“Kita ada dua pilihan padang, satu daripadanya sebuah (padang) pihak Universiti dan satu lagi yang dimiliki badan beruniform.

“Maksudnya ada dua padang kita dapat, dan sekarang ini kita sedang berlatih di sana yang mana harganya lebih murah berbanding kita sewa di padang pertanian,” katanya.