Keputusan benar orang ramai pilih vaksin langkah tepat elakkan kes ponteng suntikan berulang
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan bekas timbalan menteri kesihatan menyokong keputusan Putrajaya untuk membenarkan orang awam memilih jenis vaksin yang mereka mahu di bawah program imunisasi kebangsaan.
Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy berkata, tugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan profesional perubatan ialah mengemukakan fakta mengenai vaksin dan membenarkan orang ramai membuat keputusan bermaklumat.
Beliau memberitahu FMT bahawa langkah tidak membenarkan penerima memilih suntikan mereka
boleh menyebabkan individu yang telah sedia keberatan terus mengelak untuk divaksin sama-sekali.
“Tambahan lagi, jika orang ramai boleh memilih, mereka tidak boleh mendakwa kerajaan memberi vaksin lebih baik kepada kumpulan tertentu dan orang lain sebaliknya,” katanya.
Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye daripada PKR berkata, keputusan membenarkan orang ramai memilih jenis vaksin adalah langkah tepat kerana wujud persepsi berbeza terhadap jenis vaksin yang ada.
Walaupun persepsi itu mungkin timbul kerana salah maklumat atau “geopolitik”, namun semua vaksin tersebut boleh mencegah dari 90% hingga 100% penyakit kritikal dan juga kematian akibat wabak Covid-19, katanya yang juga merupakan bekas timbalan menteri kesihatan.
Bagaimanapun katanya, kerajaan mungkin akan berdepan dengan kesukaran pentadbiran dalam menyelaraskan pesakit dengan bekalan vaksin.
Ketika ditanya sama ada keputusan membenarkan orang ramai memilih vaksin akan menyebabkan banyak dos jenama tertentu tidak digunakan Subramaniam berkata, lebihan vaksin tersebut boleh didermakan kepada negara lebih miskin.
Lee berkata, sektor swasta mungkin berminat untuk menggunakan vaksin Sinovac (salah satu daripada tiga vaksin yang diluluskan oleh kerajaan).
Katanya, banyak negara lain, termasuk Indonesia juga menggunakan vaksin berkenaan.
Pada Khamis menteri penyelaras program vaksinasi Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan kini memasukkan ciri tambahan dalam aplikasi MySejahtera bagi membolehkan orang ramai memilih jenama vaksin yang mereka kehendaki.
Beliau juga berkata, vaksin AstraZeneca akan dimasukkan semula ke dalam program imunisasi kebangsaan dan tidak lagi ditawarkan secara tempahan sukarela.
Lee bersetuju dengan Khairy bahawa stigma berhubung risiko pembekuan darah yang dikaitkan dengan vaksin berkenaan telah berkurang.
Katanya, vaksin itu sangat selamat untuk golongan warga emas dan komplikasi tersebut dilihat hanya memberi kesan ke atas golongan muda.
Beliau menggesa kerajaan supaya mempercepatkan program vaksinasi dengan mendapatkan vaksin lain seperti Moderna, Cansino, Sinopharm dan Sputnik. – FMT