#KerajaanGagal, makin ramai artis bersuara
Baik atau pun tidak – itu pertanyaan diajukan pelakon Aeril Zafrel kepada semua pemimpin negara mengenai apa yang sedang mereka lakukan ketika orang ramai kini semakin tertekan dengan hidup.
Aktor itu mengemukakan soalan tersebut secara terbuka melalui akaun Instagram miliknya hari ini.
Pada masa sama pelakon telefilem Kita Bukan Anjing itu mengingatkan betapa semua orang termasuk para pemimpin akan disoal di akhirat atas amanah yang dipikul semasa hidup.
“Wahai ketua atau pemimpin negara. Apa yang anda lakukan hari ini, jika ia baik atau pun tidak, akan anda dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
“Sudah sediakah anda menjawab soalan Munkar dan Nakir di alam kubur nanti?” katanya.
Mengiringi status berkenaan, pemilik nama sebenar Suhairil Sunari itu berkata ia sekadar peringatan untuk diri sendiri.
Pada masa sama, dia yang turut muncul untuk filem Jibril itu berkata: “Tolong tag pada ketua atau pemimpin.”
Semakan Malaysiakini setakat laporan ini ditulis petang ini mendapati, status tersebut menerima lebih 62,000 tanda suka.
Kenyataan itu turut mengundang perhatian beberapa selebriti yang memberi reaksi pada ruangan komen di Instagram pelakon berusia 32 tahun itu.
Nazim Othman misalnya berkata dia tidak bersemangat untuk berbuat seperti yang disarankan Aeril Zafrel itu.
“Tak ada mood nak tag insan-insang agung tu,” katanya dipercayai secara sinis.
Pelakon, pelawak dan pengarah Afdlin Shauki pula berkata: “Masalahnya diaorang (mereka) peduli ke Aeril?”
Pelakon Hun Haqeem kemudian turut mencelah dan berkata: “Terima kasih kerana berkata begini. Preach.”
Sumber : Malaysiakini