Kes budak didera di taska, rakaman ibu bapa lempang pengasuh pula tular
Selepas tular video pengasuh diserang oleh bapa mangsa dera, kini tular pula video suspek diserang oleh ibu mangsa yang tidak dapat menahan rasa amarahnya.
Manakan tidak, anak lelaki berusia empat tahun dijaga dengan penuh kasih sayang selama ini, dianiaya oleh pengasuh yang tidak bertanggungjawab.
Bukan sahaja dipukul dan ditendang, malah rambut anaknya juga ditarik serta mukanya ditampar menggunakan pembaris beberapa kali.
Segalanya terbongkar selepas si ibu mendapati kepala anaknya mengalami kecederaan, lalu meminta memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) taska yang membawa kepada penemuan mengejutkan.
Dalam video tular kedua, pengasuh ditampar oleh ibu mangsa beberapa kali. Jelas wajah si ibu menangis dan tidak dapat menerima perbuatan pengasuh terbabit yang tergamak menganiaya anaknya selama ini.
Netizen bimbang anak terkesan dengan tindakan ibu bapa
Sementara itu di media sosial, ada yang bersetuju pengasuh diperlakukan seperti itu sebagai balasan di atas perbuatannya terhadap mangsa. Tetapi, ada yang berpendapat tindakan pasangan itu tidak wajar kerana ia akan menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.
“Letaklah dulu anak di luar atau di bilik lain. Bimbang perbuatan itu akan memberi kesan kepada anak kerana dia nampak apa yang ibu bapa dia lakukan. Tapi yelah, kalau sudah berada di tempat kejadian, langsung takkan fikir apa dah,” kata Letty.
“Ada satu kesilapan di situ, membiarkan anak kecil nampak apa yang berlaku. Salah memang salah, nak pukul ke, tampar ke apa sekali pun jangan sampai anak-anak nampak. Anak tu masih kecil,” kata Aima.
Bagaimanapun ada netizen yang membidas teguran itu di mana pengasuh terbabit juga melakukan perkara yang sama. Dan atas sebab itu, mereka berpendapat suspek layak diberi pengajaran mengikut cara yang sama.
“Budak tu kena pelempang, pukul apa segala dan disaksikan oleh rakan-rakan sekelasnya. Maka layaklah pengasuh itu dapat balasan setimpal dengan perbuatannya,” kata Lina.
Suspek direman sehingga 17 Ogos
Terdahulu, polis memaklumkan dua kertas siasatan telah dibuka selepas pihaknya menerima tiga laporan yang dibuat oleh ibu mangsa, pengusaha taska dan pengasuh terbabit.
Susulan itu, suspek berusia 27 tahun telah ditahan dan direman sehingga 17 Ogos untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam pada itu, pengusaha taska berkenaan juga akan dipanggil untuk memberi penjelasan mengenai kejadian itu kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah.