Kes pasangan lakukan aksi ‘wheelie’, suami direman & isteri jadi saksi pendakwaan

Kes pasangan lakukan aksi ‘wheelie’, suami direman & isteri jadi saksi pendakwaan

Seorang remaja lelaki yang bersatus suami direman tiga hari bagi membantu siasatan selepas tular video melakukan aksi wheelie semasa menunggang sebuah motosikal di Jalan Pasir Puteh, Peringat, Kelantan.

Memetik sumber media, perintah reman bermula hari ini sehingga 30 April dikeluarkan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu suspek berusia 17 tahun bersama isteri berumur 16 tahun tiba di Mahkamah Majistret Kota Bharu jam 9.50 pagi tadi dengan diiringi polis.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan reman terhadap isteri suspek yang membonceng motosikal ditunggangnya semasa kejadian dengan alasan remaja perempuan berkenaan hanya sebagai saksi pendakwaan dan perlu dibebaskan.

Sebelum ini media melaporkan, sepasang suami isteri remaja tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pagi semalam selepas dua hari bersembunyi.

“Sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Bharu menyerbu sebuah rumah kira-kira pukul 6.50 petang kelmarin selepas menerima laporan mengenai kejadian tersebut. Namun, kedua-dua suspek tiada di rumah berkenaan dan dipercayai telah melarikan diri,” kata Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud.

Kedua-duanya tampil susulan video mereka menunggang motosikal sambil melakukan aksi wheelie dengan berpakaian baju Melayu dan berbaju kurung tular sejak 25 April lalu.