Ketegasan Menteri Pendidikan amat munasabah isu tajaan syarikat arak di sekolah

Ketegasan Menteri Pendidikan amat munasabah isu tajaan syarikat arak di sekolah

 

Sama ada berdasarkan kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini atau bersumberkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan semalam berhubung isu tajaan syarikat arak untuk sekolah-sekolah, kedua-duanya adalah mengikut garis panduan sedia ada.

Garis panduan itu ialah melarang sekolah menerima dana yang dijana daripada penjualan produk tembakau dan minuman beralkohol.

Garis panduan tersebut termasuk larangan memapar atau mempromosi minuman keras di dalam sekolah.

Namun Kementerian Pendidikan juga setuju memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular untuk menerima sumbangan melalui Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan yayasan seperti yang telah diamalkan sebelum ini.

Tidak melibatkan pelajar Islam

“Bagaimanapun, Jemaah Menteri menegaskan penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh melibatkan pelajar Islam,” demikian kata kenyataan Kementerian Pendidikan semalam.

Dengan itu, ketegasan Fadhlina yang ditunjukkan dalam isu berkaitan adalah sesuatu yang munasabah dan wajar.

Ia bermakna sebagai Menteri, beliau hanya mahu memastikan kepentingan sekolah dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sentiasa dipelihara, di samping dalam waktu yang sama tidak menafikan hak kaum-kaum lain.

Oleh itu kritikan keras pemimpin kanan DAP, Lim Guan Eng yang mengingatkan Fadhlina bahawa beliau bukan “Menteri Pendidikan Pas” adalah sesuatu yang keterlaluan.

Bukanlah niat penulis untuk membesar-besar isu ini tetapi ketegasan Fadhlina perlu dihormati dan diterima dengan lapang dada.

Mempertahankan kepentingan Islam bagi seorang Menteri yang beragama Islam tidak sama sekali bermakna membawa perjuangan Pas.

Islam adalah milik semua umat Islam dan bukan hak Pas sahaja.

Islam agama Persekutuan

Tidak kira mewakili parti mana sekali pun, selagi Islam adalah agama Persekutuan di negara ini Menteri Pendidikan berhak mempertahankan kedudukan tersebut.

Kritikan yang mengaitkan ketegasan Fadhlina dalam mempertahankan kepentingan Islam di sekolah-sekolah lalu dibabitkan dengan perjuangan Pas adalah tidak sewajarnya.

Hakikatnya, garis panduan sudah sedia ada dan semua pihak hanya perlu mematuhinya.

Paling penting, sesiapa pun yang mahu mengkritik harus rasional dan tidak terbawa-bawa sentimen politik ke dalam dunia pendidikan.

Penulis merupakan Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat. Tulisan ini merupakan pendapat peribadi beliau dan tidak mewakili Wanita KEADILAN Pusat.