Konsert Coldplay: Kalau PAS tak suka, tak payah beli tiket, tegas menteri

Konsert Coldplay: Kalau PAS tak suka, tak payah beli tiket, tegas menteri

 

Pemimpin PAS beberapa hari lalu mendesak kerajaan membatalkan penganjuran konsert kumpulan rock British, Coldplay, yang dijadual akan membuat persembahannya di Malaysia pada November ini.

Malah di media sosial, ada beberapa individu yang mendakwa vokalis Coldplay merupakan penyokong komuniti LGBTQ berikutan pernah beberapa kali dikesan mengibarkan bendera ‘pelangi’.

Bagaimanapun, peminat Coldplay di Malaysia membantah tindakan tersebut dan mendakwa pemimpin berkenaan berfikiran sempit kerana menyangka orang ramai yang menghadiri konsert itu kelak akan menyokong komuniti songsang.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, juga menyarankan pemimpin Pas untuk tidak membeli tiket atau menonton konsert kumpulan rock itu sekiranya tidak menyukai Coldplay.

“Jika Pas tidak suka Coldplay, mudah sahaja. Jangan beli tiket konsert mereka. Itu sahaja, tetapi jangan halang peminat Coldplay daripada menghadiri konsert mereka.

“Kita ingin menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar metropolitan yang kaya dengan persembahan muzik, tarian, serta persembahan kebudayaan pelbagai kaum.

“Michael Jackson pun pernah membuat persembahan di Stadium Merdeka dulu. Jika Michael Jackson boleh datang, kenapa Coldplay tidak boleh?

“Ini bukan sahaja tentang persembahan, tetapi ia juga dapat membantu pertumbuhan ekonomi,” kata Ahli Parlimen Teluk Intan itu.

Tambah Kor Ming, Coldplay sebelum ini juga pernah menaja mesin perangkap sampah sarap di sungai yang dikenali sebagai Interceptor 005, sepadan dengan insiatif kementeriannya untuk membersihkan alam sekitar.

“Jangan lupa, tahun 2025 adalah Tahun Melawat Malaysia. Jadi kita mesti mula (mempromosikan negara) dari sekarang,” ujarnya.