Kulasegaran akhirnya dedah wanita muda itu isterinya

Kulasegaran akhirnya dedah wanita muda itu isterinya

 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran mendedahkan beliau turut menjadi mangsa buli siber secara tidak langsung apabila dituduh berhibur dengan seorang wanita muda.

Kulasegaran berkata, beliau dihentam teruk di TikTok kerana didakwa keluar dengan seorang wanita muda, sedangkan individu itu isterinya.

“Minggu ini saya balik, isteri saya memberi saya satu video yang dia dapat melalui TikTok. Saya pun terima. (Video ini) kata Kula dengan seorang perempuan muda, dia enjoy (berhibur).

“Dalam Bahasa Tamil dia kata, orang ini tak ikut umurnya. Macam mana dia boleh dengan perempuan muda, tak malu, macam-macam dia kata. Hentam cukup-cukup. Tapi dia tak tahu, perempuan muda itu isteri saya.

“Saya dapat puluhan (mesej di) TikTok yang dihantar kepada saya, anda harus berhati-hati Kula kerana orang akan tahu anda bersama siapa. Macam mana saya nak jawab? Secara tidak langsung ia buli siber,” katanya semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Sumpah dan Ikrar (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Kulasegaran juga bersetuju supaya kesalahan buli siber diambil tindakan tegas termasuk membabitkan kes pempengaruh media sosial, A Rajeswary atau dikenali sebagai Esha yang meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa buli siber.

“Ahli politik ada ketahanan tinggi tapi masam kes Rajeswary, sangat tidak adil. Saya harap mereka (polis) menyiasat sedalam-dalamnya.

“Ada prosedur tertentu polis boleh ambil ambil tindakan tegas,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan sedang memperhalusi cadangan mewujudkan dasar membabitkan peruntukan khusus mengenai buli siber.

“Pandangan semua pihak termasuk ahli akademik akan dipertimbangkan ke arah pengwujudan peruntukan kesalahan khusus tentang buli siber yang kian menjadi-jadi,” katanya.