KWSP lulus 40 ribu permohonan FSA2, namun masih ramai yang gagal berpunca daripada 3 syarat ini

KWSP lulus 40 ribu permohonan FSA2, namun masih ramai yang gagal berpunca daripada 3 syarat ini

Sejumlah RM835.4 juta diluluskan bagi bayaran Inisiatif Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membabitkan 40,196 permohonan setakat 26 Mei, 2023.

Memetik portal berita FMT, Kementerian Kewangan (MOF) berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM790.8 juta telah disalurkan melalui MBSB Bank Bhd manakala RM44.6 juta menerusi Bank Simpanan Nasional.

“Kebanyakan yang tidak layak disebabkan tidak mencapai syarat seperti permohonan tidak lengkap, di luar umur kelayakan dan baki Akaun 2 yang tidak mencukupi,” katanya dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu.

MOF menjawab soalan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) mengenai jumlah permohonan pencarum KWSP terbabit serta nilai diluluskan bagi inisiatif itu.

Inisiatif FSA2 bertujuan membantu ahli KWSP yang memerlukan bantuan kewangan mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

Ia juga bertujuan mengimbangi kepentingan pendapatan persaraan di masa depan dengan impak minimum ke atas simpanan persaraan ahli yang banyak terjejas susulan pengeluaran ketika pandemik Covid-19.