Laluan di Perak dinamakan ‘Jalan Tun Dr S Samy Vellu’

Laluan di Perak dinamakan ‘Jalan Tun Dr S Samy Vellu’

 

Sebatang jalan sepanjang 9.3km yang menghubungkan Ipoh-Butterworth dinamakan sempena bekas menteri kerja raya mendiang S Samy Vellu.

Menurut pewartaan Persekutuan, laluan yang dikenali sebagai “Jalan Tun Dr S Samy Vellu” bermula di sempadan Kinta-Kuala Kangsar dan berakhir di persimpangan Taman Makmur di Sungai Siput, Perak.

Pada Sept lalu, bekas pembantu Samy Vellu menggesa Putrajaya menamakan semula Jalan Ipoh atau Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur sempena nama presiden MIC yang paling lama berkhidmat tersebut.

E Sivabalan yang berkhidmat sebagai setiausaha akhbar dari 2002 hingga 2008 dan kemudiannya sebagai setiausaha sulit kanan dari 2010 hingga 2018 berkata, ini sebagai mengiktiraf sumbangan bekas menteri itu kepada negara.

Samy Vellu meninggal dunia pada Sept lalu pada usia 86 tahun.

Mendiang adalah Ahli Parlimen Sungai Siput dari 1974 hingga 2008 dan menjadi menteri kerja raya dari 1979 hingga 1989. Beliau kemudiannya menjadi menteri tenaga, komunikasi dan pos dari 1989 hingga 1995 sebelum sekali lagi dilantik menteri kerja raya dari 1995 hingga 2008.

Samy Vellu menjadi presiden MIC selama 31 tahun sejak 1979 dan berkhidmat di bawah Jemaah Menteri tiga perdana menteri – Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi.