Lepas bunuh isteri dengan kejam, pemuda ini sempat mandikan mayat, jemur pakaian terakhir isteri

Lepas bunuh isteri dengan kejam, pemuda ini sempat mandikan mayat, jemur pakaian terakhir isteri

 

SATU pembunuhan kejam berlaku di Bekasi, Indonesia membabitkan seorang suami yang bertindak mengelar leher isterinya dengan pisau dapur sehingga mati selepas dipercayai sakit hati dengan perkataan dilemparkan pasangannya itu.

Kejadian yang berlaku pada 7 September lalu itu terjadi di rumah sewa pasangan tersebut yang terletak di Cikarang Barat, dekat daerah tersebut.

Dalam pada itu, lebih mengejutkan, suspek yang dikenali sebagai Nando dilaporkan turut memandikan isterinya yang dikenali sebagai Mega Suryani Dewi sejurus selepas menamatkan riwayat mangsa.

Difahamkan, kedua-dua anak pasangan tersebut yang masih kecil turut berada di rumah ketika insiden.

“Ketika kejadian, isterinya terus mati serta-merta selepas dikelar suspek. Kemudian, mayatnya dibawa ke bilik air untuk dimandikan.

“Selepas itu, mayat juga dibawa ke katil dan ditutup dengan tuala,” kata Ketua Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Cikarang Barat, Said Hasan.

Selain memandikan mangsa, suspek turut mencuci pakaian isterinya dan turut mengeringkannya.

Selepas menyelesaikan perkara tersebut, suspek yang berusia 25 tahun itu kemudiannya membawa anaknya yang ketika kejadian berada di bilik lain untuk pulang ke rumah ibu bapanya.

Difahamkan, Nando akhirnya memberitahu kedua-dua ibu bapanya mengenai pembunuhan tersebut sebelum menyerahkan diri kepada pihak polis dua hari kemudian iaitu pada 9 September lalu.

Susulan daripada itu, pemeriksaan yang dilakukan pihak polis menjumpai mayat mangsa di atas katil rumah sewa pasangan terbabit.

 

Hasil bedah siasat, mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan kesan kelar yang dihadapi di lehernya.

Dalam pada itu, berdasarkan kepada makluman yang diperolehi daripada jiran mangsa, suspek dipercayai turut pernah melakukan beberapa tindakan keganasan rumah tangga terhadap isterinya sebelum ini.

Ekoran daripada kejadian tersebut, suspek berhadapan dengan hukuman penjara seumur hidup sekiranya didapati bersalah.