Mahkamah arahkan ‘skandal’ Syamsul Yusof fail pembelaan
Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengarahkan anak kepada pelakon Kazaruddin Saisi, Faghira Fatini untuk memfailkan pernyataan pembelaannya dalam saman yang dikemukakan pelakon Puteri Sarah, dalam tempoh sebulan.
Memetik laporan MalaysiaGazette, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin selaku plaintif berkata Hakim Rofiah Mohamad mengeluarkan arahan itu pada prosiding pengurusan kes dalam kamar hari ini.
“Mahkamah sudah arahkan pihak defendan (Faghira) untuk memasukkan pembelaan dalam masa sebulan. Jika perlu jawab, kami (plaintif) akan jawab, jika tidak, mahkamah akan tetapkan tarikh bicara,” kata peguam itu ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas prosiding.
Katanya, mahkamah menetapkan 23 Ogos ini untuk pengurusan kes selanjutnya.
Selain itu, Akberdin berkata mahkamah turut mengekalkan perintah interim injunksi ex-parte (sebelah pihak) yang antaranya defendan diperintah berhenti mengeluarkan, menyebarkan dan menghantar sebarang kenyataan atau apa sahaja bentuk gangguan terhadap Puteri Sarah dalam media sosial sehingga perbicaraan penuh.
“Peguam bagi pihak defendan tidak membantah terhadap perintah interim injuksi itu dan mahkamah mengekalkan perintah injunksi tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Puteri Sarah yang merupakan isteri kepada pengarah filem Mat Kilau, Mohd Syamsul Mohd Yusof telah memperoleh perintah interim injunksi itu.
Ditanya sama ada kedua-dua pihak berkemungkinan akan menyelesaikan kes saman itu secara baik, Akberdin berkata perkara itu masih belum dipertimbangkan.
“Sekiranya ada inisiatif (selesai cara baik) kita tengok dulu…kita bukan arrogant (meninggi diri) jadi asalkan tawaran itu logik, kita akan pertimbangkan selepas mendapat arahan daripada anak guam (Puteri Sarah),” katanya.
Dalam pada itu, peguam Ammar Ghalip yang mewakili Faghira atau lebih dikenali sebagai Ira Kazar ketika dihubungi mengesahkan pihaknya perlu memfailkan pernyataan pembelaan dalam tempoh sebulan sebelum atau pada 4 Ogos ini.
“Anak guam saya sudah memasukkan kehadiran pada Jumaat lepas dan hari ini mahkamah mengesahkan defendan (anak guam) telah melantik peguam,” kata Ammar.
Puteri Sarah, 37, memfailkan saman itu bulan lepas atas dakwaan menerima gangguan dan ugutan daripada Faghira, 27, menerusi media sosial.