Mahu jalani kehidupan sebagai orang biasa, ini senarai 5 artis muda yang bersara awal

Mahu jalani kehidupan sebagai orang biasa, ini senarai 5 artis muda yang bersara awal

Kenyataan yang dikongsikan pelakon muda, Aniq Suhair tentang penglibatannya dalam sebuah drama sebagai karya terakhir membuatkan ramai peminatnya tertanya-tanya.
Walaupun tidak memberikan jawapan terperinci, namun status dikongsikan pelakon berusia 23 tahun itu seolah-olah memberitahu dirinya mahu mengundurkan diri daripada bidang lakonan.

Lebih menguatkan andaian apabila Aniq atau nama lengkapnya Muhammad Aniq Suhair Mohd. Salleh dilihat mula mendekatkan diri dengan agama dan meminta peminatnya untuk memadam foto atau video dirinya tidak menutup aurat.

“Sebuah karya terakhir daripada saya buat kamu semua,” kongsi Aniq.

Keputusan untuk ‘bersara’ dalam dunia hiburan sebenarnya bukanlah asing bagi segelintir artis, baik penyanyi mahupun pelakon.

Sebelum ini, beberapa anak seni pernah membuat pengumuman untuk mengundurkan diri dalam dunia hiburan atas pelbagai alasan, bukan kerana faktor ‘agama’ semata-mata. Malah, ada dalam kalangan mereka memilih untuk beralih ke bidang lain, jauh daripada lapangan seni.

Gala minggu ini merangkumkan kisah beberapa ‘bekas selebriti’ tempatan yang mengambil keputusan untuk mengucapkans selamat tinggal kepada dunia seni.

Sarah Hildebrand

Selepas 10 tahun berkecimpung dalam dunia hiburan, pelakon jelita Sarah Hildebrand membuat kejutan apabila mengumumkan persaraannya pada April 2022. Selepas mengambil keputusan untuk meninggalkan bidang seni, Sarah atau nama lengkapnya Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand meninggalkan Malaysia apabila berhijrah ke Amerika Syarikat (AS). Tersasar jauh daripada bidang asal, Sarah kini berbangga apabila bergelar seorang tentera selepas menyertai unit Tentera Udara Amerika Syarikat.

Masya Masyitah

Pada 7 Ogos lalu, penyanyi Masya Masyitah menegaskan ingin memiliki kehidupan yang lebih bebas apabila enggan lagi terbabit dalam dunia hiburan. Penyanyi yang popular menerusi lagu Halimunan itu juga berkata, dia tidak kisah sekiranya populariti yang diraihnya sepanjang bergelar artis terkubur begitu sahaja kerana lebih selesa menjalani kehidupan sebagai orang biasa.

Keputusan pemilik nama lengkap Siti Nurmasyitah Mohd. Yusoff, 24 , itu dibuat selepas dia menerima kecaman hebat gara-gara membuat keputusan untuk membuka tudung atas kerelaannya sendiri.

Hairul Azreen

Pelakon Hairul Azreen mengejutkan dunia hiburan apabila mengumumkan persaraannya sebagai pelakon pada 21 Ogos lalu selepas 15 tahun bekerja sebagai seorang pelakon.

Pengumuman tersebut sekali gus menjadikan, filem Malbatt: Misi Bakara sebagai kemunculan terakhirnya dalam dunia lakonan. Aktor berusia 35 tahun itu berkata, dia mengambil keputusan untuk menoktahkan karier lakonan setelah memikirkan banyak nikmat Tuhan kepadanya selama ini.

Tambah pengarah Ada Hantu itu juga, dia tetap akan aktif dalam media sosial, cuma telah tiba masanya untuk fokus terhadap keluarga, terutama anak-anak yang semakin membesar.

Fatiya Latiff

Selepas sekian lama menyepi daripada dunia lakonan, pelakon Fatiya Latiff mendedahkan dia kini selesa dengan kerjaya baharunya sebagai kerani di sebuah firma guaman. Walaupun tidak pernah mengumumkan bersara sebagai artis, namun Fatiya dilihat serius dengan kerjaya baharunya itu.

Menerusi perkongsian foto yang dimuat naik Fatiya dalam Instagram miliknya, pelakon yang memiliki kelulusan dalam jurusan undang-undang itu berkongsi gambar bersama timbunan fail kes dalam sebuah bilik dipercayai pejabat guaman tempatnya bekerja.

Ashira

Tanpa menyebut sebarang alasan, penyanyi Ashira Aziz mengumumkan nekad mengambil keputusan berundur dari dunia hiburan bagi menjalani kehidupan biasa. Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz itu menegaskan, dia bukan berhenti menyanyi, sebaliknya hanya enggan lagi menjadi tumpuan ramai dengan menggalas status sebagai artis.

Ashira yang mula mencipta nama sebagai penyanyi ketika berusia 16 tahun turut berharap orang ramai menghormati pilihannya meninggalkan status figura popular bagi menjalani kehidupan biasa bersama keluarga.