Mak tengah sibuk buat ‘content’ TikTok, anak pula main najis sendiri, habis satu rumah berbau
Baru-baru ini seorang TikToker, Masmi Rashid, 28, berkongsi kisah sedih apabila anak perempuannya berusia dua tahun bermain dengan najisnya sendiri.
“Masa tu saya tengah rekod video untuk content (kandungan) berbayar dalam bilik. Tiba-tiba anak nombor dua datang dan beritahu yang si adik main berak (tahi).
“Saya terkejut jadi terus ke ruang tamu. Banyak tahi atas karpet di merata-rata tempat. Satu rumah busuk bau tahi.
“Masa tu saya tengok dia dah dalam keadaan comot sampai termuntah. Saya dukung dia terus bawa masuk bilik air,” ujarnya ketika dihubungi mStar.
@masmi_rashid SAYA BUKAN MAK YANG BAGUS. LEKA DENGAN DUNIA. I’M SO SORRY SAYANG 😭 #fyp #fypシ゚viral #ragamanak
Menurut cerita Masmi yang menetap di Teluk Panglima Garang, Selangor, insiden berlaku kira-kira lima minit selepas dia masuk ke dalam bilik.
Dia tidak menyangka dalam tempoh sesingkat itu anaknya sudah mengorek najis daripada lampin pakai buang yang dipakainya sebelum itu.
Dalam pada itu Masmi menjawab sangkaan segelintir netizen bahawa anaknya bertindak memakan najis. Jelas Masmi, ketika memandikan anaknya dia ada menghidu di bahagian mulut namun tidak berbau busuk.
“Lepas mandikan saya pun tanyalah dia kenapa makan tahi. Dia hanya mampu gelak saja sebab masih belum pandai cakap. Kemudian abangnya yang tolong jawab adik bukan makan berak, itu biskut Oreo mummy bagi tadi.
“Barulah teringat yang memang saya berikan Oreo sebelum nak buat content. Lepas siap uruskan anak barulah saya cuci karpet dan buang tahi pada dinding tersebut dan tak tunggu suami balik untuk cuci,” ujar si ibu.
Bercerita mengenai kehidupannya, Masmi berkata dia baru sahaja bermula menjadi pencipta kandungan di TikTok sejak tiga bulan lalu selepas diberhentikan kerja.
Namun, siapa sangka video perkongsian mengenai keletah anaknya ketika dia sedang bekerja ini mendapat perhatian ramai. Malah, ujarnya dia tidak terlepas daripada menerima kecaman daripada warga maya.
“Lebih kurang setahun lalu saya kerja di sebuah kedai telefon. Tapi bulan Mei lalu saya kena buang sebab majikan dah muflis. Saya ada cari kerja lain tapi tak boleh nak tampung kos mengasuh.
“Sekarang saya mengasuh anak dan jadi host live di TikTok dan buat content berbayar saja. Yang mana ada komen negatif pada video tu saya terus padam sebab saya nak fokus berniaga.
“Lagipula saya kongsikan video tu untuk nikmati kenangan membesarkan anak-anak. Momen-momen macam ni tak akan datang dua kali. Enjoy je dengan ragam anak-anak. Janji kita tahu macam mana nak uruskan hal anak-anak,” ujarnya menutupi kisah.