Malaysia kerugian RM50 bilion punca daripada kelemahan kabinet Ismail Sabri

Malaysia kerugian RM50 bilion punca daripada kelemahan kabinet Ismail Sabri

Polisi yang tidak berkesan ada kosnya

Laporan dari Bernama yang dilaporkan oleh The Edge ini amat mendukacitakan.

Ianya memetik Malaysian Productivity Corporation (MPC) sebagai mendakwa bahawa industri kelapa sawit dijangka rugi sebanyak RM 28 bilion tahun ini sekiranya pekerja asing yang mereka perlukan tidak diperolehi tahun ini. Mengikut perkiraan MPC, industri ini telah rugi sebanyak RM 21 bilion tahun lepas.

Jika dicampur kedua-dua tahun berkenaan, dah jadi RM 49 bilion. Saya tak tahu lah samada angka ini dikira kecil oleh pembuat-pembuat dasar berkenaan pekerja asing ini. Ianya bukan sahaja mengurangkan sumbangan kepada ekonomi negara yang perlu dipulihkan, tetapi kehilangan potensi ini turut juga memberi kesan kepada pendapatan negara kerana cukai yang boleh dikutip berkurangan.

MPC adalah badan kerajaan yang menggalakkan produktiviri di pelbagai sektor ekonomi. Ianya tidak mewakili sektor kelapa sawit atau pun sektor pembuat dasar kemasukan pekerja asing. Jadi, ini adalah dakwaan dari pihak yang dikira bebas.

Bagi orang yang tidak maklum berkenaan hubungan jumlah pekerja dengan produktiviti di dalam industri kelapa sawit ini, saya kongsikan beberapa perkara:

1. Untuk menjadikan pohon-pohon sawit subur dan segar, mereka kena dibajai dengan betul. Ini memerlukan tenaga manusia; dan

2. Buah kelapa sawit yang masak juga perlu dipetik oleh manusia kerana tidak semua buah masak pada ketika yang sama.

Walaupun ada beberapa proses di dalam menanam, menjaga dan mengambil buah boleh dimakanisasikan, namun ada proses-proses yang masih lagi memerlukan tulang empat kerat.

Bagaimana dengan pekerja tempatan? Kalau ramai yang sanggup bekerja dan tinggal di ladang-ladang yang terletak jauh di pendalaman, sudah lama mereka diambil bekerja. Jadi, janganlah semangat nasionalisma yang tak berasas nak diungkitkan di sini.

Satu masalah di dalam mendapatkan pekerja asing ialah kemudahan yang disediakan dan sikap kita kepada manusia. Tahap kemudahan asas seperti perumahan dikatakan tidak menepati piawaian yang difahami di negara-negara yang menjadi pembeli minyak sawit kita. Ini menyebabkan ada produk syarikat-syarikat tertentu yang ditahan oleh pihak berkuasa luar negara seperti di Amerika.

Walaupun isu berkenaan pekerja asing di sektor kelapa sawit ini kompleks, ianya kena ditangani oleh pihak yang berkuasa. Itulah kerja mereka, membentuk polisi yang menyelesaikan masalah, bukannya polisi yang menimbulkan masalah kepada pelbagai pihak.

Dari laporan-laporan akhbar, bab pekerja asing ini pun ada risiko rasuah kerana kelulusan kemasukan mereka boleh dijadikan tol oleh pelbagai pihak. Inilah sebabnya kita memerlukan orang-orang yang berkelayakan dan jujur untuk diletakkan di kedudukan pembuat dasar. Mereka juga kena berani membuat keputusan berdasarkan data dan fakta, bukannya sentimen atau pun bilangan undi di dalam pilihanraya.

Selagi rakyat Malaysia tidak meperdulikan perkara-perkara berkenaan polisi awam atau pun hanya mendesak supaya polisi-polisi yang berasaskan emosi dilaksanakan, kerugian seperti yang dilaporkan ini akan menjadi lumrah. Kemudian dipersalahkan pihak-pihak yang tidak wujud seperti tok bomoh menyalahkan hantu apabila ada orang sakit.

Jika kita tidak secara individu mengambil tanggungjawab untuk menjaga negara ini, siapa lagi yang nak kita harapkan?

Ayam mana ayam? 🤗

Sumber – FB Nik Hasyudeen