Margaret Gan terpaksa tolak tawaran berlakon, “Saya dah beragama Islam, saya tak akan buka tudung”
Pelakon veteran, Margaret Gan, 80, bersyukur dapat meraikan sambutan Tahun Baharu Cina kali pertama sebagai Muslim dengan memperbanyakkan sedekah.
Margaret berkata, dia memang meraikan Tahun Baharu Cina secara sederhana sejak dulu dengan meluangkan banyak masa bersama keluarga, cuma yang berbeza kini ialah dia sudah memeluk Islam sejak 15 Februari tahun lalu.
“Saya gembira meraikan Tahun Baharu Cina setiap tahun kerana menghabiskan masa bersama keluarga. Cuma, kali ini saya lebih gembira kerana banyak bersedekah. Ia membuatkan saya sangat seronok dan tenang jiwa.
“Alhamdulillah, saya juga masih dianugerahkan Tuhan menjalani kehidupan seperti biasa dengan bahagia bersama anak, menantu dan cucu, selain kesihatan yang baik serta peluang terbabit dengan banyak aktiviti kebajikan dianjurkan persatuan-persatuan yang mengajak saya menyertainya.
“Jadual aktiviti saya boleh dikata tetap sibuk walaupun sekarang jarang berlakon kerana watak tidak sesuai. Sebagai orang Islam dan bertudung, saya memang menolak tawaran berlakon yang memerlukan saya tidak bertudung,” katanya kepada Harian Metro.
Margaret berkata, dia sentiasa bersikap positif dan berfikiran terbuka apabila sering diberikan watak sama.
Katanya, dia boleh saja melakonkan watak wanita Cina, tapi sekarang kenalah bertudung.
“Tawaran berlakon itu masih lagi diterima, tapi ada juga yang menawarkan saya watak tidak bertudung. Jadi, tak bolehlah saya nak terima sebab saya dah beragama Islam dan bertudung. Saya pun tak akan sesekali membukanya (tudung).
“Lagipun, saya percaya dan yakin rezeki ada di mana-mana kerana Allah yang memberikannya.
“Macam saya, pada usia ’emas’ begini Allah bukakan hati dengan hidayah hingga rela memeluk Islam dan sekarang saya juga sudah hafal surah al Fatihah dan boleh membaca dengan baik,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Margaret bersyukur impian anak tunggalnya, Mohd Taufik Gan, 38, untuk melihat dia memeluk agama Islam menjadi kenyataan tahun lalu selepas menunggu dengan sabar bertahun-tahun lamanya.