Mas Idayu tak layan desakan netizen minta masuk GV, “Bukan takut, tahap saya dah juri”
Penyanyi dangdut, Mas Idayu masih menerima kecaman ramai disebabkan kritikan pedas terhadap peserta program Famili Duo iaitu Sissy Iman dan Naim Daniel pada Ahad lalu.
Gara-gara kontroversi tersebut, ada segelintir netizen mencabar penyanyi berusia 51 tahun itu menyertai program sama seperti Gegar Vaganza bagi membuktikan dia boleh menjayakan persembahan.
Mengulas perkara itu, Mas berkata pertandingan bukan lagi tahapnya tetapi lebih layak berada di kerusi juri kerana mempunyai pengalaman selama 38 tahun dalam industri.
“Bukan takut… itu bukan tahap saya… minta maaf! Pertandingan bukan tempat saya dah, sekarang tahap saya menjuri.
“Saya aktif menjuri. Sudah 38 tahun saya dalam industri dan sejak 16 tahun lalu saya jadi juri, sekarang ini baru saya terima kecaman paling tinggi.
“Seorang penyanyi atau guru vokal belum tentu boleh komen, jangan kerana tak puas hati dengan komen suruh saya masuk pertandingan.
“Yang duduk di kerusi juri itu tidak semestinya boleh menyanyi, pengalaman dia yang orang kena ambil,” katanya.
Mas berkata secara peribadi, seorang penyanyi tidak perlu menyertai sebarang pertandingan nyanyian sekiranya sudah berjaya mencipta nama sebagai anak seni.
“Mereka yang dah legend tak perlu suruh masuk pertandingan. Mereka yang dah ada nama, jangan jatuhkan maruah mereka untuk masuk pertandingan.
“Pertandingan hanya untuk mereka yang rasa diri mereka layak sahaja,” ujar penyanyi lagu Cintaku 100% itu.
Bersikap terbuka dalam menerima kecaman, dia mengakui tidak kisah jika terdapat peserta program terbitan TV3 itu membenci dirinya.
“Saya harap peserta Famili Duo bertahan dahulu sampai habis program ini. Kalau selepas ini dia orang nak benci saya pun terpulang.
“Yang bagi markah saya dan juga Ajai, bukan netizen ataupun sesiapa yang berkokok dekat luar itu. Apa pun saya harap caci maki yang saya terima ini…
“…membuatkan Sissy Imann dan Naim Daniel lebih bersemangat sebab banyak yang sokong mereka ini,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Sissy dan Naim yang membuat persembahan lagu Jampi nyanyian Hael Hussaini versi keroncong dikritik hebat oleh Mas sehingga mengundang rasa kurang senang dalam kalangan penonton.