Masih sentap disembur, Sissy Iman patah semangat mahu batal keputusan lancar album
Penyanyi Sissy Imann nampak gayanya masih belum boleh melupakan kenangan pahit dikritik oleh juri profesional, Mas Idayu sewaktu menjayakan lagu Jampi di pentas Famili Duo minggu keenam, semalam.
Terbaharu, penyanyi berusia 28 tahun itu mendedahkan dia mengambil keputusan untuk membatalkan pelancaran albumnya pada Februari ini.
Bukan itu sahaja, pemilik nama Sissy Imann Mohammad Kamil mengatakan perasaan terujanya tentang album yang dirakam di Abbey Road, London makin pudar.
“2 Februari 2023 adalah hari yang sepatutnya Sissy lancarkan merchandise rasmi untuk album yang dirakam pada tahun lepas di Abbey Road.
“Fizikal CD sudah pun siap dicetak, kita sedang cetak mug, tshirt dan beberapa merchandise yang lain. Kita siap plan nak kumpul rakan-rakan media dan kawan-kawan rapat untuk membuat sidang media berkongsi album yang Sissy buat dengan penuh kasih sayang.
“Tuhan sahaja tahu betapa terujanya, tetapi keterujaan itu mungkin sudah hilang sekarang ini. Pagi tadi bangun, bila nampak CD ni, rasa tak boleh tengok,”luah Sissy.
Hasil album guna duit simpanan sendiri
Dalam pada itu, sepupu kepada penyanyi Naim Daniel memberitahu album tersebut dihasilkan dengan menggunakan wang titik peluhnya sendiri selama 10 tahun bergiat aktif dalam industri seni.
“Album ni memang telan banyak sangat kos dan semuanya Sissy tanggung sendiri atas duit cari makan selama hampir 10 tahun merangkak dalam industri,”ceritanya lagi.
Tidak mahu rasa usahanya sia-sia, Sissy membuat keputusan untuk menyumbangnya kepada mereka yang memerlukan pada kadar harga RM20 sahaja jika hendak dibandingkan nilai sebenar RM50.
“Sumbangan bermula RM20. Sissy minta maaf sebab terpaksa letak harga untuk Sissy tampung sebahagian kos cetak dan pos sahaja. Terima kasih, semoga Allah merahmati anda semua,”ujarnya lagi.
Jangan sedih dan putus asa
Rata-rata warganet termasuk rakan-rakan artis tidak putus-putus memberikan kata semangat kepada Sissy untuk terus kuat.