Mat Sabu dan Harakahdaily setuju selesaikan kes terbitan artikel fitnah di luar mahkamah

Mat Sabu dan Harakahdaily setuju selesaikan kes terbitan artikel fitnah di luar mahkamah

Kes saman bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, terhadap kolumnis dan Ketua Pengarang Harakah berhubung dakwaan menerbitkan artikel berunsur fitnah di laman web portal Harakahdaily, tahun lalu, berjaya diselesaikan hari ini.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali, merekodkan penghakiman persetujuan bagi penyelesaian kes itu.

Bagaimanapun peguam, Noor Atiqah Abdul Rahman, yang mewakili Mohamad ketika dihubungi media tidak mendedahkan terma penyelesaian.

Sementara itu peguam, Yusfarizal Yussoff, yang mewakili Roslan Shahir Mohd Shahir, yang juga kolumnis akhbar Harakah dan di portal Harakahdaily, Wan Nordin Wan Yaacob dan penerbit, Galeri Media Serbanika Sdn. Bhd. (Galeri Media), sebagai defendan pertama hingga ketiga, ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Pada 28 Oktober, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, memfailkan saman atas dakwaan kesemua defendan pada 14 September 2020 telah menerbitkan artikel berbaur fitnah bertajuk ‘Husam: PAN parti diktator’ di laman sesawang Harakahdaily dan merujuk kepada Mohamad yang juga Presiden Amanah.

Artikel tersebut didakwa merujuk kepada Mohamad dan memberikan gambaran bahawa plaintif adalah seorang Presiden bersifat diktator dan bertujuan merendahkan maruah dan kredibiliti dirinya.

Mohamad menyatakan, susulan daripada terbitan artikel, plaintif mendakwa beliau telah merasa malu, kredibiliti dan reputasi terjejas dan dipandang hina oleh masyarakat.

Oleh itu, bekas Ahli Kabinet itu antara lain memohon ganti rugi am, teruk dan teladan yang akan ditaksirkan oleh mahkamah dengan faedah sebanyak 5% setahun dari tarikh saman difailkan sehingga penyelesaian penuh.