Mat Sabu: Perlu ramaikan kawan, kurangkan musuh
Parti Amanah Negara (AMANAH) akan terus memperjuangkan isu gabungan besar dalam kalangan parti pembangkang untuk menguasai semula kerajaan.
Presidennya, Mohamad Sabu, menegaskan parti itu perlu meramaikan ‘sahabat’ dan mengurangkan lawan bagi memastikan pakatan pembangkang memperoleh majoriti untuk mentadbir negara.
“Bagi AMANAH, kita akan terus memperjuangkan soal gabungan (besar pembangkang), kita mesti meramaikan kawan dan kurangkan musuh.
“Namun ‘kawan’ ini mesti ada prinsip keadilan kepada semua dan integriti serta keupayaan untuk membentuk kerajaan yang lebih baik jika kita dapat menguasainya semula.
“Sebab itu peranan (AMANAH), kita mesti ramaikan kawan dan kurangkan lawan, barulah kita dapat sokongan majoriti,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis perasmian Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan kali ke-5 di sini, hari ini.
Mohamad turut menegaskan, rakan dalam gabungan sedia ada perlu dipertahankan kerana kekuatan bersama PKR dan DAP sudah terjalin sekian lama hingga berjaya menguasai kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Selain parti politik, beliau berkata, AMANAH perlu memperkukuhkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Pada pilihan raya umum 2018, kita berjaya membentuk kerajaan bersama-sama yang lain (PKR dan DAP). Ertinya, kekuatan kita kerana bersama rakan lain iaitu PKR dan DAP dan disokong NGO.
“Oleh itu, bagi membuat satu persepsi rakyat untuk tukar kerajaan atau menyokong mana-mana parti, peranan NGO tidak boleh diambil enteng.
“Jadi, kawan yang ada jangan kita tinggalkan dan kawan yang baharu mesti kita tambah. Ini mesti ada pada kita untuk kita lebih kuat pada masa akan datang dan menjadi lebih berprinsip,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanahair, Datuk Wira Marzuki Yahya dan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyarankan supaya parti pembangkang membentuk gabungan besar (grand coalition).
Menurut mereka, kerjasama itu penting untuk menghadapi PRU-15 yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.