MAZA dedahkan dirinya sudah berkeluarga

MAZA dedahkan dirinya sudah berkeluarga

JUAL BELI PAKSA

Antara syarat jual adalah التراضي بين الطرفين (saling meredhai antara kedua belah pihak). Ertinya penjual bersetuju untuk menjual dan pembeli juga bersetuju untuk membeli dengan ketetapan tersebut. Maka, tiada pihak yang dipaksa menjual apa yang beliau enggan jual atau membeli apa yang beliau enggan beli.

Ini berasaskan firman ALLAH dalam Surah al-Nisa ayat 29:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡۚ
(maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu..”

Saya terpanggil untuk mencoretkan hal ini kerana pagi tadi ketika saya mengisi minyak di sebuah stesyen minyak Shell yang tidak jauh dari tempat saya, pihak saya membayar sebanyak RM 100. Minyak yang dapat diisi hanya RM 93 sahaja. Ada baki lagi RM7. Anak saya pergi ke kaunter untuk mendapatkan baki. Pihak kaunter menyatakan duit tidak dipulangkan, sila ambil barang dalam kedai Shell tersebut dengan sebanyak baki tersebut. Anak saya mengambil barang seperti yang diminta. Apabila dia ke kereta saya bertanya kenapa beli makanan ringan? Beliau memaklumkan apa yang terjadi, tiada pilihan. Saya meminta beliau kembali ke kaunter dan memaklum jual-beli seperti itu salah. Bukan soal RM7 tersebut, tapi bimbang orang lain menjadi mangsa dan jual beli itu tidak sah. Tidak boleh memaksa pihak pembeli membeli apa yang dia tidak mahu beli. Jika itu berlaku, ia termasuk dalam memakan harta secara batil.

Saya menulis hal ini sebagai ingatan untuk para peniaga kerana perkara seperti sering berlaku. Kadang-kala di kantin sekolah, kedai runcit dan seumpamanya. Contohnya, apabila pembeli membayar RM2 bagi barang yang berharga RM1.80, penjual akan memberikan gula-gula atau sesuatu barang yang bernilai 20 sen sebagai bayaran baki. Padahal pembeli tidak mahu membeli barang tersebut. Ini sering berlaku di kantin sekolah dan pasti anak-anak kecil tidak akan membantah. Mungkin orang dewasa juga malu untuk membantah kerana merasakan jumlah itu kecil. Lalu mereka ambil gula-gula tersebut yang mereka pun tidak akan memakannya dan dibiarkan begitu saja. Kalau 10 kali hal itu berlaku bererti sebanyak RM2 telah dipaksa beli. Bagi sesetengah keluarga, RM2 itu bermakna. Ini semua termasuk dalam memakan harta pihak lain dengan cara yang batil. Adapun jika penjual memberikan cadangan dan pilihan samada ingin wang kembali atau gula-gula (contoh) sebagai ganti, dan pembeli bersetuju, maka itu tidak mengapa.

Berhati-hati dalam hal ini.