Memalukan!!! Naik papan tanda bahasa Bangla, setpol MB Selangor minta maaf

Isu papan tanda yang mengguna pelbagai bahasa selain bahasa kebangsaan terus menjadi perdebatan di kalangan masyarakat negara kita.
Meskipun menganggap bahasa kebangsaan sebagai bahasa penyatuan semua kaum, namun masih ada yang berkeras untuk menggunakan bahasa ibunda masing-masing dengan alasan tidak mahu identiti kaum mereka terus hilang dalam jati diri anak bangsa, terutamanya kalangan anak muda.
Namun berlainan pula dengan kes yang berlaku terhadap salah sebuah parti politik di tanah air seperti dilaporkan portal akhbar MalaysiaGazette baru-baru ini.
Akibat memasang papan tanda yang turut mencetak tulisan Bangladesh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli tampil membuat permohonan maaf.
Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Kuala Selangor kesal atas isu kesilapan cetakan.
Katanya, papan tanda itu telah dipasang ahli Ranting Cabang PKR Kuala Selangor di beberapa lokasi dan tindakan segera untuk membetulkannya sedang dilakukan.
“Saya merasa kesal atas isu kesilapan cetakan bahasa pada papan tanda Ranting Cabang PKR Kuala Selangor yang telah dipasang di beberapa lokasi dan tindakan segera pembetulan sedang dilakukan.
“Cabang PKR Kuala Selangor memohon maaf atas kesilapan yang tidak seharusnya berlaku berkaitan dengan isu ini,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Papan tanda PKR Cabang Kuala Selangor turut dicetak dalam tulisan atau bahasa Bangladesh.
Menurut Juwairiya, Cabang PKR Kuala Selangor sentiasa mengangkat prinsip keadilan dan kepedulian untuk seluruh rakyat serta menghormati kepelbagaian bangsa dan agama yang membentuk keluarga besar parti.
Katanya, partinya merupakan sebuah parti yang berbilang bangsa dan agama yang mencerminkan kemajmukan masyarakat Malaysia yang sebenar.
Juteru, kata beliau, kepelbagaian itu adalah satu kekuatan yang harus dipupuk bersama untuk mencapai matlamat yang lebih besar demi kesejahteraan seluruh rakyat.