Mengejutkan!!! Harga segelas air kosong di Kelantan cecah lebih RM1
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan 84 notis kepada peniaga premis makanan dan minuman di seluruh negara kerana mengenakan caj air kosong melebihi RM1 segelas.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, daripada jumlah itu Kelantan merekodkan kes paling tinggi iaitu 14 notis diikuti Selangor (12) manakala Sabah, Sarawak dan Johor masing-masing sebanyak lapan notis.
Menurutnya, Pahang turut mencatatkan tujuh kes, Terengganu sebanyak enam kes dan setakat ini hanya Kedah dan Putrajaya belum merekodkan sebarang notis dikeluarkan.
“Notis bertulis untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dikeluarkan kerana disyaki wujud unsur pencatutan susulan Ops Catut 8.0 (air kosong) yang dilaksanakan KPDNHEP di seluruh negara.
“Operasi ini dijalankan terhadap restoran mewah, biasa, makanan segera, francais dan kedai makan serta warung selama sembilan hari bermula 7 hingga 15 April ini,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Terengganu di KTCC Mall, di sini pada Sabtu.
Hadir sama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim, Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman dan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.
Mengulas lanjut, Rosol berkata, penguatkuasa KPDNHEP akan meneruskan operasi ini yang masih berbaki lima hari bagi memastikan hak pengguna terjamin manakala peniaga tidak mengaut keuntungan berlebihan.
“Sepatutnya air kosong hanya dicaj tidak lebih dari 30 sen tapi ada kedai yang mengenakan harga melebihi RM1, jadi kita ambil tindakan melakukan siasatan,” katanya. – SH