Menghina hakim : Tulisan Hadi Awang mengundang siasatan polis
KES IKI PUTRA BIN MUBARRAK V KERAJAAN NEGERI SELANGOR & ANOR (ULASAN 5)
1. Hari ini Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menulis dalam kolum Minda Presiden melalui tulisan bertajuk ‘Merdekakan Perlembagaan . Tulisan itu tidak menyebut secara khusus tentang keputusan kes ini. Namun, isinya tetap menyentuh keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut.
2. Tulisan tersebut antara lain mengulas mengenai kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Dalam tulisan sebelum ini (lihat Ulasan 3) ada dihujahkan kenapa pemahaman Islam sebagai agama Persekutuan itu tidak seharusnya difahami dalam konteks Islam sebagai Addeen. Hujahan yang dikemukakan adalah bahawa maksud Islam sebagai agama Persekutuan bermaksud Islam dalam konteks pentadbiran. Maka, adalah tidak tepat sekiranya Minda Presiden itu membandingkan konsep Islam sebagai Addeen dan Islam sebagai agama Persekutuan.
3. Bagi orang Islam mereka menerima konsep Islam sebagai Addeen tetapi bagaimanakah caranya untuk mentadbirkan Islam itulah yang dibahagikan bidangkuasa masing-masing mengikut kuasa Persekutuan dan Negeri. Secara asasnya, Perlembagaan tidak melarang untuk pengamalan agama Islam dan sekatan itu hanya dalam perkara-perkara tertentu. Justeru, sekatan itu boleh dibuang jika Perlembagaan dipinda tetapi buat masa ini perlu bagi semua pihak mengikut apa yang tertulis dalam Perlembagaan supaya keharmonian tetap terpelihara.
4. Selanjutnya tulisan Minda Presiden itu menerangkan mengenai sejarah penggubalan Perlembagaan. Jika dilihat daripada tulisan itu seolah-olah menyalahkan Suruhanjaya Reid yang mana terdiri daripada semua warga asing dan bukan warga tempatan. Hal itu memang betul namun pemahaman begitu agak kurang tepat.
5. Suruhanjaya Reid terikat dengan terma-terma rujukan yang diberikan. Ada 5 terma rujukan yang diberikan:
i) Pembentukan sebuah persekutuan dengan kerajaan pusat yang kuat.
ii) Pemeliharaan kedudukan, keistimewaan, kehormatan dan hak raja-raja.
iii) Mewujudkan jawatan ketua negara bergelar Yang di-Pertuan Agong.
iv) Pemeliharaan hak istimewa orang Melayu tanpa mengabaikan hak-hak kaum lain.
v) Pembentukan sebuah sistem kewarganegaraan yang seragam untuk seluruh Tanah Melayu.
6. Manakala, cadangan awal Suruhanjaya Reid itu tidak memasukkan berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan tetapi dimasukkan kemudiannya setelah diterbitkan Kertas Putih. Setelah itu, Cadangan Perlembagaan itu telah dirujukkan kepada Raja-Raja dan dibawa ke Parlimen untuk diluluskan. Ini menunjukkan bahawa Suruhanjaya Reid itu tidak mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan draf Perlembagaan tetapi draf itu kemudiannya diserahkan kepada pemegang taruh. Apa pun, Malaysia telah merdeka lebih 60 tahun dan nasib Perlembagaan itu sebenarnya terletak di tangan ahli-ahli Parlimen. Sekiranya ahli-ahli Parlimen itu sepakat ingin memindanya maka ianya boleh dipinda. Jadi adalah tidak adil untuk menyalahkan Suruhanjaya Reid sahaja.
7. Minda Presiden selanjutnya mengecam “para hakim yang baru, hilang sensitiviti agama. Mereka membuat keputusan berasaskan buku yang dibaca, bukan mengikut pertimbangan akal yang mempunyai budi bicaranya; …mereka menyembunyikan pentafsiran perkataan agama mengikut kehendak mereka dengan makna yang sempit, dan merampas kuasa politik dan pentadbiran secara tersembunyi tanpa difahami rakyat.; Malangnya ada dalam kalangan Melayu-Islam yang tiada dalam hatinya kepekaan terhadap Islam.”
8. Paling berat adalah apabila Minda Presiden menyatakan, “Apabila berlakunya keputusan mahkamah yang berani mencabar terhadap Enakmen Jenayah Syariah Selangor, menjadikannya laksana batu besar yang dihempas ke dalam lubuk yang tenang. Disangka tiada lagi saki-baki buaya belaan penjajah British di dalamnya, namun tiba-tiba buaya itu mendongakkan kepalanya.”.
9. Bagi orang biasa kata-kata ini boleh ditafsirkan sebagai menghina Mahkamah Persekutuan. Adalah amat tidak wajar menyamakan hakim atau mahkamah sebagai ‘buaya belaan penjajah British yang tiba-tiba mendongakkan kepala”. Kalau famili kita dipanggil sebagai buaya penjajah pun kita akan marah. Ini dipanggil hakim dan mahkamah sebagai buaya penjajah itu kiranya kes berat.
10. Kita ingin lihat sama ada Peguam Negara ingin mengambil apa-apa tindakan terhadap penghinaan kepada hakim dan keputusan Mahkamah Persekutuan sepertimana yang dibuat ke atas Malaysiakini baru baru ini. Kita tidak mahu nanti wujud pula tohmahan orang ramai bahawa Malaysia ini mempunyai undang-undang bersifat dua darjat.
Dr Zulqarnain Lukman
4/3/2021