Meninggal dunia sehari sebelum divaksin, anak terkilan selepas dapat tahu ayahnya…

Meninggal dunia sehari sebelum divaksin, anak terkilan selepas dapat tahu ayahnya…

SATU panggilan telefon mengundang sebak dan linangan air mata.

Menerusi satu ciapan seorang anak di laman Twitter, panggilan itu diterima dari pusat pemberian vaksin (PPV) bagi memaklumkan janji temu suntikan vaksin bapanya.

Bagaimanapun, pengguna laman sosial berkenaan memberitahu bahawa bapanya telah pun meninggal dunia sehari sebelum panggilan itu dibuat.

“Sedihnya. Ayah hari-hari tanya bila dia akan dapat vaksin,” demikian antara tulisannya di laman Twitter sehingga diulang kicau lebih 17,000 kali.

Kakak sulung kepada pengguna Twitter itu, Nor Zaiyani Nor Azam berkata, bapanya meninggal pada usia 51 tahun akibat komplikasi Covid-19, awal pagi Jumaat lalu.

Selain menjual apam lenggang, arwah bapa Yani pernah berniaga ais krim9

Wanita berusia 25 tahun itu memberitahu, kira-kira sebulan lalu, arwah bapanya dimasukkan ke hospital selepas dijangkiti virus itu kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen.

“Ayah discaj dan pulang ke rumah selepas lapan hari dimasukkan ke hospital. Tapi selepas 20 hari ayah berada di rumah keadaan kesihatannya kembali merosot.

“Ayah dimasukkan semula ke hospital, Rabu minggu lalu, dan kami dimaklumkan ayah mengalami jangkitan kuman dalam paru-paru dan buah pinggang,” katanya kepada mStar.

Mengimbas kembali, Yani berkata, arwah bapanya sebenarnya saban hari bertanyakan tentang janji temu dos pertama vaksin Covid-19 sejak discaj dari hospital.

Arwah bapa Yani disifatkan sebagai bertanggungjawab terhadap keluarga.

“Menerusi aplikasi MySejahtera, ayah sebenarnya terima notifikasi appointment dos pertama semasa di hospital. Kami terpaksa menolaknya kerana ayah positif Covid-19 dan sedang dirawat.

“Selepas discaj, setiap hari ayah tanya appointment dia. Sebelum ayah positif Covid-19 pun, banyak kali tanya bila giliran dia,” katanya yang berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Menurut anak sulung daripada tujuh beradik itu, bermula Ogos hanya warga emas yang belum memperoleh sebarang janji temu vaksin boleh ‘walk-in’ atau jumpa terus di PPV.

“Ayah baru 51 tahun, bukan kategori warga emas. Ayah juga tidak menghidap sebarang penyakit, sebab itulah ayah hanya menunggu tarikh appointment dalam MySejahtera.

“Bila mak kemudian dapat tarikh appoinment dos pertama vaksin, ayah cepat-cepat check handphone tapi terkilan belum dapat. Ayah ucap tahniah kat mak sebab dah dapat tarikh,” ujarnya.

Kenangan… Yani (belakang, dua kanan) bersama keluarga.

Yani bagaimanapun menjelaskan perkongsian adik perempuannya berusia 21 tahun sekadar luahan kesedihan terhadap pemergian bapa mereka.

“Kami terima takdir dan ketentuan Allah. Sama ada dapat vaksin atau tidak, bila-bila saja ajalnya sekiranya itulah yang ditakdirkan,” katanya yang bertugas sebagai jururawat pergigian.

Yani berkata, arwah bapanya, Allahyarham Nor Azam Idrus atau lebih dikenali sebagai Man merupakan peniaga apam lenggang demi mencari rezeki buat keluarga.

“Selepas kerja kilang selama 25 tahun, ayah berniaga sendiri sejak kira-kira lapan tahun lalu. Pagi, petang, malam ayah tak kenal erti penat. Ayah tak pernah merungut,” katanya sambil menambah arwah bapanya juga pernah berniaga ais krim.

Dalam pada itu, katanya, tarikh baharu janji temu bagi dos pertama arwah bapanya iaitu Ahad lalu (29 Ogos), secara kebetulan hari yang sama dengan janji temu vaksin ibunya yang berusia 47 tahun.

Ibu Yani selepas menerima dos pertama vaksin.

“Tarikh appointment mak dapat lebih awal sebelum ayah meninggal dunia. Syukur mak dah dapat dos pertama vaksin, mak mungkin nampak gembira tapi kami anak-anak tahu mak sedih sebab ayah tak sempat dapat vaksin dia,” ujar Yani dengan nada sebak.

Sumber – MStar