Menteri beri jaminan kenaikan harga telur, ayam masih terkawal
Disebalik keluhan rakyat yang semakin terbeban dengan kenaikan harga barangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan ianya masih tidak membebankan rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kementeriannya akan terus memantau kenaikan harga ayam dan telur sekali gus memberi jaminan akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga kebajikan pengguna serta peniaga, seperti dilaporkan portal Sinar Harian.
Tambahnya lagi, isu kenaikan harga ayam yang melibatkan kos operasi dipengaruhi oleh pasaran dunia sememangnya amat mencabar dan memerlukan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi.
“Saya mengambil maklum laporan media mengenai kenyataan saya berkenaan jangkaan kenaikan harga ayam dan telur di pasaran selepas Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) tamat pada 4 Februari ini.
“Perlu saya jelaskan bahawa kenyataan ini bukanlah sengaja diada-adakan, tetapi berdasarkan hasil maklumat yang diterima daripada sesi libat urus yang diadakan pada Khamis lalu bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Kewangan, wakil Agro Bank dan wakil-wakil dari Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak (FLFAM).
“Melalui sesi itu, setiap pihak termasuk FLFAM telah membentangkan faktor-faktor kenaikan kos operasi penternakan ayam termasuk peningkatan kos makanan ayam di peringkat global dan kekurangan tenaga kerja akibat sekatan kemasukan pekerja asing bagi sektor ini,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya pada Sabtu.
Menurutnya, pelaksanaan SHMKM ini juga telah membebankan penternak yang terpaksa menyerap kos operasi yang lebih tinggi dan sekiranya diteruskan akan menjejaskan hasil pengeluaran ayam dan telur.
“Sekiranya keadaan ini berlaku, ini tentunya akan memberi kesan yang lebih buruk kepada pengguna akibat kekurangan bekalan ayam dan telur di pasaran. Dengan kurangnya bekalan, harga jualan juga akan meningkat,” katanya.
Justeru, beliau berkata, kerajaan termasuk KPDNHEP sudah mengambil langkah proaktif untuk mengimbangi kenaikan harga ayam dan telur di pasaran seperti yang telah diumumkan sebelum ini.