Menteri Kewangan digesa jelaskan status pembelian 150,000 laptop kepada pelajar
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menggesa Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz agar segera memberi penjelasan berkenaan status 150,000 komputer riba kepada pelajar di 500 sekolah seluruh negara.
Fahmi berkata, Tengku Zafrul perlu menjelaskan beberapa maklumat penting berhubung dengan status penyerahan komputer riba tersebut sepertimana yang diumumkan sewaktu pembentangan Belanjawan 2021.
“Apakah spesifikasi komputer riba, dan berapakah harganya, adakah vendor komputer riba itu dipilih secara tender terbuka atau rundingan terus, bagaimana 150,000 pelajar ini dipilih, bagaimana 500 sekolah itu ditentukan, apa tindakan jika pelajar tiada internet di rumah, atau kawasan perumahan tiada liputan internet dan jika belum lagi diserahkan, mengapa?” soalnya menerusi hantaran di Facebooknya pada Khamis.
Menurutnya, meskipun negara telah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sesi persekolahan, namun khabar berita mengenai insentif berkenaan masih belum kedengaran.
“Namun setakat hari ini (Khamis), iaitu hari kedua sejak sesi persekolahan bermula dalam keadaan hampir kesemua pelajar terpaksa melakukan pembelajaran dalam talian, dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 nampaknya mungkin dilanjutkan berkali-kali, kita belum dengar berita status penyerahan komputer riba ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, Fahmi mencadangkan agar isu tersebut dikemukakan di Parlimen agar tindakan boleh diambil sekiranya pihak yang terlibat mendiamkan diri.
“Jika tidak menjawab, berbohong atau mengelirukan Dewan, maka menteri boleh dikenakan tindakan.
“Inilah kepentingan Parlimen meneliti tindak-tanduk eksekutif.
“Oleh itu, jika sekolah, kilang, kedai makan, masjid, mahkamah, IKEA, Victoria Secret dan banyak lagi boleh buka – Parlimen juga perlu dibuka. Demi semak imbang, demi demokrasi, dan demi mengangkat suara rakyat,” jelasnya.
Terdahulu, Tengku Zafrul telah mengumumkan dana RM150 juta untuk pembelian 150,000 komputer riba untuk pelajar di 500 sekolah seluruh negara melalui pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November.
Beliau berkata, pemberian komputer riba itu adalah seiring dengan normal baharu di mana pembelajaran secara dalam talian telah menjadi satu amalan. – SH