“Mesejnya tetap sama mengutuk..” – Dikecam guna bendera Israel, Baby Shima akhirnya buka mulut
Penyanyi dangdut Baby Shima sekali lagi meraih perhatian apabila memuat naik hantaran di Instagram dengan mengenakan filter bendera Israel pada bahagian pipinya.
Namun begitu, video yang dikongsikan pemilik nama Nor Ashima Ramli itu mendapat kecaman segelintir pihak kerana didakwa telah mengelirukan netizen di media sosial.
Malah, hantaran foto yang memaparkan bendera Israel turut ditegur penyanyi dan pelakon Janna Nick yang merasakan dia tidak sepatutnya menjadikan ia satu bahan jenaka. Difahamkan, hantaran foto itu telah pun dipadam oleh Instagram.
Sementara itu, ada dalam kalangan pengikut memahami maksud yang ingin disampaikan tetapi ada juga yang tidak bersetuju kerana menganggap tindakan dibuat dirasakan tidak kena.
Bagaimanapun, pelantun lagu Lalai itu menjelaskan biarpun video itu menggunakan logo tersebut namun mesej yang hendak disampaikan adalah mengutuk kekejaman Israel terhadap Palestin.
“Tahap intelligent seseorang berbeza-beza begitu juga tahap pemahaman seseorang individu tidak sama. Apa yang saya kongsikan memang dari POV yang berbeza.
“Namun mesejnya tetap sama mengutuk tindakan Israel. Takkan lah saya nak please semua orang untuk semua yang saya kongsikan di media sosial.
“Pandai-pandai la semak mesej tu dulu kalau perlu Google Translate dahulu,” katanya.
Isu berkaitan konflik Palestin-Israel ini amat sensitif sebenarnya. Lebih wajar kita berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu.